Sejauh manakah kesungguhan, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran Parti Politik membawa arah tuju yang sebenar.....?

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

- Surah Ali Imran ayat 140 -

Petikan Al-Quran.

Topik Terkini.

Monday, June 1, 2009

Kumpulan Erdogan mulakan budaya hadiah dalam Pas.....

Pas menganggap mana-mana pemimpinnya yang memberi ‘hadiah’ kepada perwakilan semata-mata untuk meraih sokongan pada Muktamar Agung ke-55 Pas awal bulan depan, sebagai penjenayah besar dan perlu muhasabah diri.

Beberapa pemimpin tertinggi Pas pusat berkata, sekiranya gejala rasuah politik itu berlaku, pemimpin berkenaan perlu dikenakan tindakan tegas kerana menjejas imej parti yang mendukung prinsip perjuangan Islam.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Lo Lo Ghazali, berkata gejala itu tidak pernah berlaku dalam parti sebelum ini, dan sekiranya ia memang berlaku seperti didakwa, imej dan kepercayaan ahli pada peringkat akar umbi akan terhakis.

Sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan badan bebas termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera terhadap mana-mana pemimpin parti yang terbukti berbuat demikian.

“Memang ramai calon yang bertanding pada pemilihan kali ini, tapi kita sendiri tidak kenal perwakilan dan saya yakin mereka tidak akan termakan umpan… itu rasuah, pemberi dan penerima (rasuah) adalah sinar kepada neraka.

“Sekiranya berlaku, orang yang buat kena muhasabah diri, pada saya mereka penjenayah besar dalam Pas dan mereka yang buat tuduhan mesti bertanggungjawab dengan membawa bukti sebab ia memberi persepsi negatif kepada parti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ada individu tertentu dalam Pas sanggup memberi hadiah kepada perwakilan untuk mendapat sokongan menjelang pemilihan Pas tidak lama lagi.

Kelmarin, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi mendedahkan situasi tidak sihat itu mula menular di kalangan pemimpin Pas yang inginkan kuasa apabila ada pemimpin yang sanggup mengadakan jamuan dan memberi hadiah baju kepada perwakilan untuk tujuan melobi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berkata dakwaan ketua dewan ulama itu amat serius kerana memberi gambaran tidak baik kepada semua calon yang akan bertanding bagi merebut pelbagai jawatan di peringkat Pusat.

Beliau berkata, adalah tidak salah sesiapa saja tidak kira berapa ramai golongan profesional atau ulama merebut jawatan yang dipertandingkan kerana ia ‘pasaran terbuka’ yang dibenarkan Majlis Syura.

“Isu siapa bertanding diizinkan dalam parti, Majlis Syura dah sebut. Tapi nak kata bagi hadiah, tak ada kes. Saya tidak berani kata dia (Mohamed Daud) bohong, dia ulama yang dihormati tapi dia kena buktikan siapa orang itu (rasuah).

“Kalau betul tuduhan itu, kita akan ambil tindakan tegas tapi kalau tidak betul, dia patut minta maaf kerana memalukan nama baik parti,” katanya yang menyebut Jawatankuasa Disiplin Parti akan memanggil Mohamed Daud dalam masa terdekat ini untuk mendapat maklumat lanjut darinya.

Isu rasuah dalam Pas dikatakan timbul apabila julung kali dalam sejarah pemilihan jawatan tertinggi Pas pada Muktamar Tahunan ke-55 pada awal Jun ini, menyaksikan jumlah calon yang menawarkan diri untuk bertanding terlalu ramai.

Persaingan merebut jawatan penting itu menjadi sengit apabila dua kelompok iaitu promuzakarah yang direstui Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang dan proPakatan Rakyat (atau kumpulan Erdogan), cuba mendapat tempat dalam kepemimpinan Pas.
Print Friendly and PDF

1 comment:

  1. Hadiah biasanya digunakan sebagai satu motivasi dalam hidup. Guru, Ibubapa teman seperjuangan menghulurkan hadiah sebagai “ingat” atau saying seseorang itu terhadap yang menerima hadiah.
    Tapi pengalaman aku yang sedikit ini, mengingatkan bahawa sekitar 20 – 30 tahun yang lalu beberapa pemimin sebuah parti politik orang Melayu yang mungkin telah membuat penilaian sendiri-sendiri kalau nak dipilih dan menang jawatan yang dipertandingkan, para wakil yang hadir kena dan patut dihargai melalui pemberian “hadiah”. Sebelum itu tak timbul langsung para wakil mengharapkan balasan kerana memenangkan seseorang pemimpin. Lama kelamaan pemimpin-pemimpin yang berkenaan dan para wakil yang hadir di Mesyuarat Agung peringkat tertinggi mula “menaruh harapan” dan mulalah perebutan untuk menjadi wakil di peringkat paling rendah lagi.

    Dan apabila “hadiah” mula diterima sebagai satu motivasi, semakin ramai bakal penjawat jawatan parti mula “berlawan” untuk menawarkan hadiah yang lebih bernilai. Akhirnya, bagi memudahkan, hadiah yang berharga ditukar denan nilai wang. Akibatnya budaya telah banyak merosakkan parti Melayu berkenaan. Dan semua pihak dalam parti berkenaan telah sedar akan keburukan budaya tersebut. Nasib parti berkenaan agak baik kerana tidak ada kumpulan promuzakarah atau kumpulan erdogan dalam parti tersebut.

    Keadaan dalam PAS akan jadi cukup parah kalau dua kumpulan itu dibiar untuk “berfikiran” liberal (sederhana?) sematamata untuk mendapat jawatan yang tak pastinya kekal itu.

    Janganlah digadai maruah dan perjuangan sematamata kerana mahu mengejar jawatan.


    Aku sedikit lega, bila ada pemimpin parti Islam itu cepat tampil menafikan berita itu. Tapi setakat menafi tak cukup.

    Jangan biar Melayu menangis berterusan.

    ReplyDelete

Sebarang komen yang dibuat tidak terlibat dengan Sungguhka. Adalah menjadi tanggungjawab dan etika pemberi komen.

Followers

Blog Ikuti.