Sejauh manakah kesungguhan, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran Parti Politik membawa arah tuju yang sebenar.....?

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

- Surah Ali Imran ayat 140 -

Petikan Al-Quran.

Topik Terkini.

Sunday, August 30, 2009

Haluan Politik PAS Kini Semakin Liberal.

TAHUN 1970-an dan 1980-an, dunia Islam disemarakkan dengan kemunculan fundamentalisme radikal yang berjuang menegakkan daulah Islamiah. Kejayaan revolusi Islam Iran pada 1979 meningkatkan lagi semangat golongan terbabit.

Namun, apabila runtuhnya Soviet Union pada akhir 1980-an, gerakan terbabit mula menukar pendekatan kepada yang lebih lunak dan liberal. Di Republik Islam Iran dasar lunak mula diperkenalkan apabila pada 1988, Khomeini mengeluarkan fatwa menggantung peruntukan syariah atas alasan maslaha atau kepentingan awam.

Liberalisasi politik ini memperlihatkan kesediaan golongan terbabit untuk bergerak masuk dalam aliran perdana, iaitu sistem demokrasi dengan mempromosikan apa yang dinamakan demokrasi Islam. Pelbagai istilah mula diperkenalkan seperti mujtama’al-madani (masyarakat sivil), huqud al-insan (hak asasi manusia), hurriyah (kebebasan) dan al-ta’addudiyah (kemajmukan) yang semuanya dikaitkan dengan demokrasi.

Slogan mengenai negara Islam tidak begitu ditonjolkan lagi. Liberalisasi politik dapat dikesan di Mesir, Maghribi, Tunisia, Algeria, Yaman dan beberapa negara Arab lain. Di Indonesia dan Malaysia, golongan fundamentalis yang berjuang melalui politik turut mengubah haluan dan pendekatan mereka.

Di penghujung era 1990-an, tuntutan terhadap reformasi demokratik berkumandang di Indonesia yang akhirnya menyaksikan kejatuhan rejim Suharto pada 1998. Pada 1998 itu juga berlaku reformasi jalanan di negara kita.

Ia digerakkan oleh Anwar Ibrahim selepas beliau disingkir daripada kerajaan dan parti atas dakwaan liwat dan rasuah. Reformasi jalanan terbabit melaungkan anti-Mahathir yang dianggap zalim dan bersifat diktator. Gerakan itu akhirnya melahirkan parti politik yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam kes di Indonesia, dua kumpulan Islam iaitu Muhammadiah dan Nahdatul Ulama turut memainkan peranan dalam tuntutan reformasi demokrasi. Mereka cuba mengekang kuasa rejim Suharto yang dituduh bersifat authoritarian. Di negara kita, Pas turut memberikan sokongan terhadap perjuangan reformasi jalanan atas alasan kononnya menentang kezaliman Mahathir dan Umno terhadap Anwar.

Ketika itu Pas dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadhil Noor, seorang tokoh politik yang dihormati dan disegani. Beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002. Bertolak daripada sinilah, Pas terus sedikit demi sedikit berubah dari sebuah parti bersifat fundamental kepada yang lebih liberal.

Perlu difahami bahawa pengertian fundamental atau al-ushuliyyah merujuk kepada fahaman pelaksanaan agama yang berasaskan kepada tafsiran literal sesuatu teks. Maksud al-Ushuliyyah dalam pengertian Islam adalah daripada akar kata ‘al-Ashl’ bererti bahagian paling dasar daripada sesuatu.

Bentuk jamak (plural) ashl adalah Ushul. Kata ashl (fundamental) juga memberi pengertian dasar atau pangkal (Dr Muhamad Imrah, Perang Terminologi Islam versus Barat, 1998).

Justeru, tidak hairanlah apabila Pas mula dikuasai kelompok muda radikal pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, maka suara dan prinsip perjuangan parti itu sangat berpegang kepada pemahaman tekstual ayat-ayat al-Quran sehinggakan beliau menghukum sesiapa yang berbaik-baik dan bekerjasama dengan orang kafir dalam urusan politik adalah haram, malah ‘kafir’.

Beliau menyerang Umno dengan keras sehingga timbul kontroversi isu ‘Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang’ yang mengkafirkan Umno. Ketika itu, Hadi dengan semangat revolusi Iran begitu tegas memperjuangkan Daulah Islamiah (negara Islam) dan hukum hudud.

Namun, sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 (2004), Pas tidak lagi menonjolkan isu negara Islam dan hudud. Dalam pilihan raya itu, Pas mula menggunakan beberapa slogan seperti ‘negara kebajikan’ dan ‘masyarakat sivil’. Pas sudah bersedia untuk bekerjasama dengan DAP.

Jelas bahawa Pas mula lari daripada prinsip perjuangannya yang tidak mengizinkan bersekutu atau bersama dengan golongan bukan Islam. Selain itu, Pas turut menerima perjuangan PKR yang memperjuangkan hak-hak sivil rakyat secara yang lebih liberal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu, suara Pas semakin liberal dan lunak sehingga bersedia membentuk satu pakatan politik yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat merangkumi PKR, Pas dan DAP. Kini, semakin terbukti bahawa demi kuasa, Pas bersedia mempertahankan DAP walaupun beberapa pemimpin muda parti itu cuba menghina dan memperlekehkan Islam.

Penulis kira soal mereka jahil bukan alasan untuk membiarkan mereka menghentam Islam sesuka hati. Pemimpin muda DAP seperti Ronnie Liu, Jeff Ooi dan Loke Siew Fook sekurang-kurangnya tidak jahil mengenai Islam sebagai agama rasmi negara dan wujudnya larangan hasutan berhubung isu-isu sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika mereka jahil mengenai fasal penting dalam Perlembagaan, sewajarnya mereka tidak layak menjadi wakil rakyat kerana ia boleh merosakkan negara. Justeru, amat mendukacitakan apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membela mereka semata-mata atas kepentingan politik menyebabkan DAP berlagak seperti ‘kaduk naik junjung’.

Sebenarnya, ketika era kepemimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi, Pas bersifat reformis dan nasionalis. Ketika itu tidak berbangkit idea mengenai Daulah Islamiah. Gagasan yang dibawa adalah ‘nasionalisme Melayu dengan cita-cita Islam’. Buktinya, cadangan pembentukan sebuah negara Islam ditolak pada kongres Pas 1954.

Satu lagi bukti ialah pada pertengahan 1970-an Pas di bawah Datuk Asri Muda bersedia menjadi komponen dalam Barisan Nasional (BN). Ketika Pas bersama BN, Anwar yang mengasaskan dan memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengkritik kepemimpinan Tun Abdul Razak Hussein yang dikatakan bersifat autokratik dan tidak Islamik.

Pada 1981, Hadi mula mewarnai dan mencorak pendekatan Pas ke arah yang bersifat radikal dan tidak berkompromi sama sekali dengan Umno, apatah lagi dengan DAP. Namun, hari ini semuanya sudah berubah dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai perjuangan parti itu.

Suara Politik
Taminsari
Print Friendly and PDF

1 comment:

  1. Itulah hakikatnya .. demi kuasa yang diagihkan melalui demokrasi barat - Islam diperdagangkan dalam pasaran liberalism.

    Sekian lama aku bersama PAS, akhirnya setelah puluhan tahun, terdetik juga rasa kecewa dengan sikap pimpinan yang berjaya di neutralised oleh Anwar Ibrahim al munafikun itu melalui jarum halusnya yang dibiakkan oelh kumpulan erdogan.

    Kecewa bila dia sanggup bersekongkol dengan kafir DAP untuk menentang melayu Islam Umno, hatta sampai menunjukan permusuhan dengan berputus arang berkerat rotan dengan bangsa yang menjadi bentang kekuatan Islam di Malaysia.

    Mujurlah adanya medium maya ini, hingga aku boleh menyusup ke segenap penjuru untuk membangunkan semula kesedaran di kalangan mereka.

    Justeru aku masih berharap kumpulan Hj Hadi akan melakukan sesuatu demi menyelamat PAS bagi memertabatkan Islam bersama bangsanya yang kian jauh tersasar.

    Apa pun aku tidak dapat membebaskan anu war al juburi sebagai punca dan sebab yang membawa kekalutan yang gawat dewasa ini. Sama ada disedar atau tidak, aku kurang pasti, bahawa dia menjadi alat dan lidah yahudi/oriantalis demi kelangsungan kuasa mereka di muka bumi di sebalik kebencikan dan dendam salibiah terhadap umat Islam!!

    ReplyDelete

Sebarang komen yang dibuat tidak terlibat dengan Sungguhka. Adalah menjadi tanggungjawab dan etika pemberi komen.

Followers

Blog Ikuti.