Sejauh manakah kesungguhan, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran Parti Politik membawa arah tuju yang sebenar.....?

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

- Surah Ali Imran ayat 140 -

Petikan Al-Quran.

Topik Terkini.

Sunday, August 9, 2009

‘Bir’ Goncangkan PR Selangor.

Minggu ini Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor ‘bergoncang’ lagi gara-gara tindakan seorang Exco yang diibaratkan sesetengah pihak sebagai lebih sudu dari kuah.

Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu mengarahkan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan sejumlah bir yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8, minggu lalu, mencetuskan perasaan tidak puas hati bukan sahaja masyarakat malahan rakan sekutu dalam PR iaitu Pas.

Malahan kenyataan Ronnie yang menyifatkan bir tidak boleh dikategorikan sebagai minuman keras kerana kandungan alkoholnya yang kononnya rendah, menyemarakkan lagi rasa ketidakpuasan hati dan kemarahan majoriti masyarakat Shah Alam yang beragama Islam.

Pas Selangor, melalui pesuruhjayanya, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengkaji semula kedudukan Ronnie sebagai Exco dan meletakkan portfolio berkenaan MB sendiri.

Dalam erti kata, Pas mendesak MB menggugurkan Ronnie daripada barisan Exco kerana beranggapan tindakan beliau sebelum ini yang sering campur tangan dalam urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah mendatangkan terlalu banyak masalah kepada PR Selangor.

Desakan yang dibuat Pas itu turut mendapat sokongan daripada banyak pihak, malahan Pemuda UMNO Selangor juga mahu Ronnie disingkirkan daripada pentadbiran Kerajaan Negeri.

Namun, sayang seribu kali sayang...MB menolak ‘mentah-mentah’ desakan yang dibuat Pas dan juga dilihat mengetepikan suara rakyat supaya Ronnie diberi ‘satu pengajaran’ berguna.

MB menganggap desakan Pas itu bukanlah satu isu sambil mengarahkan kesemua Exco tuutp mulut daripada mengeluarkan sebarang komen berkaitan rampasan arak itu.

Apakah rasionalnya keputusan yang dibuat MB itu? Adakah tersembunyi suatu agenda lain di sebalik larangan ‘kunci mulut’. Ataupun adakah PR Selangor sekali lagi terpaksa tunduk kepada DAP dan ‘membela’ habis-habisan kedudukan Ronnie?

Jika kesemua jawapan kepada persoalan itu adalah ‘ya’, bagaimana pula MB mahu meredakan kekecewaan dan kemarahan rakyat terhadap tindakan Exco itu? Adakah MB juga turut bersetuju dengan kenyataan Ronnie yang melabelkan bir bukan minuman keras?

Dibimbangi...demi menyelamatkan survival politik PR di Selangor, MB terpaksa menggadaikan perasaan ‘kawan’ lain dan mengetepikan sensitiviti agama dan umat Islam di negeri ini.

Kelmarin, teka-teki kepada persoalan penjualan arak akhirnya terjawab apabila Kerajaan Negeri mengambil pendirian untuk tidak mengharamkan urus niaga minuman keras itu dan sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan peniaga untuk mengawalnya.

Bagi MB, secara atas kertas ‘self-regulation’ adalah ‘pendekatan terbaik’ untuk mengawal penjualan arak kepada umat Islam, namun secara pratikalnya, cara itu masih boleh dipersoalkan.

Sejauh manakah peniaga akan menggunakan ‘kebijaksanaan’ mereka untuk tidak menjual kepada orang Islam, apabila keuntungan menjadi matlamat utama dalam bisnes?

HANAFIAH HASHIM
Penolong Editor Edisi Selangor & KL
mohd.hanafiah@karangkraf.com.my
sumber : Sinar Harian
Print Friendly and PDF

No comments:

Post a Comment

Sebarang komen yang dibuat tidak terlibat dengan Sungguhka. Adalah menjadi tanggungjawab dan etika pemberi komen.

Followers

Blog Ikuti.