Sejauh manakah kesungguhan, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran Parti Politik membawa arah tuju yang sebenar.....?

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

- Surah Ali Imran ayat 140 -

Petikan Al-Quran.

Topik Terkini.

Saturday, February 26, 2011

MAJLIS PELANCARAN YAYASAN BANTUAN GUAMAN KEBANGSAAN.

By        :    DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK.
Venue  :     DEWAN B, PICC  (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya).
Date    :     25/02/2011.

1.       Saya bersyukur  ke hadrat Allah SWT kerana dengan  limpah    kurnia serta rahmat-Nya,  kita dapat bersama-sama  pada hari ini dalam majlis pelancaran Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). Saya ingin mengucapkan terima  kasih  kepada YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz kerana sudi menjemput saya untuk melancarkan YBGK. Pada awal tahun 2010, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Encik Ragunath dan beberapa anggota Majlis Peguam Malaysia telah berjumpa saya mengajukan cadangan supaya sebuah yayasan ditubuhkan bagi membantu Orang Kena Tuduh yang kurang berkemampuan mendapatkan khidmat peguam.

2.       Saya dimaklumkan bahawa lebih kurang 80% Orang Kena Tuduh   dalam kes-kes jenayah, tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan untuk membayar fi yang tinggi. Perkara ini telah saya bawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dan Kabinet bersetuju dengan cadangan ini. Kerajaan telah memberi geran pelancaran sebanyak RM5 juta sebagai tanda sokongan padu demi menegakkan keadilan dan menjamin hak yang sama rata di sisi undang-undang kepada seluruh rakyat Malaysia.

3.       Justeru itu, Kerajaan dengan kerjasama Majlis Peguam Malaysia telah mengambil langkah menubuhkan YBGK bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk membayar kos khidmat peguam. Hanya dengan cara ini akan wujud ‘kesamarataan keadilan’ sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (1) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

“Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang.”.

4.       Penubuhan YBGK bukanlah bermakna Kerajaan hendak membela golongan ‘penjenayah’.  Sebaliknya, usaha menyediakan bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam perkara jenayah kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan tidak lebih daripada RM25,000 setahun, adalah untuk memastikan semua yang dituduh di bawah prosiding jenayah dapat menjalankan perbicaraan di mahkamah dengan penuh keadilan dan ketelusan serta selaras dengan Fasal (3) Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

“Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.”.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5.       Peguam-peguam yang menjadi panel YBGK akan memberi perkhidmatan dengan bayaran yang minimum. Saya menyeru supaya lebih ramai peguam yang menjadi ahli kepada Majlis Peguam tampil ke hadapan memberi khidmat bakti ini bagi melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat. Hanya dengan komitmen yang tinggi daripada para peguam, warganegara Malaysia yang tidak berkemampuan yang berada di bandar mahupun di luar bandar, akan dapat dibela bagi memperoleh keadilan yang seadil-adilnya. Ini dapat mengelakkan kes-kes di mana Orang Kena Tuduh menerima hukuman yang berat dalam mahkamah kerana mereka tidak diwakili oleh peguam bela lalu telah mengaku bersalah ataupun tidak dapat pembelaan yang berkesan .

6.       Terdapat Orang Kena Tuduh tanpa peguam bela dan mahu dibicarakan, telah ditahan reman selama bertahun-tahun kerana gagal membayar ikat jamin. Dalam situasi begini mereka akan mengaku bersalah hanya kerana ingin dibebaskan daripada tahanan reman, walaupun ada di antara mereka yang tidak bersalah. Saya penuh yakin dengan tertubuhnya YBGK, kes-kes seperti ini dapat dielakkan dan keadilan dapat ditegakkan.

7.       Dengan wujudnya YBGK, perkhidmatan bantuan guaman dan khidmat nasihat boleh diberikan kepada semua warganegara, sama ada berkemampuan atau tidak berkemampuan,bagisemua jenis kesalahan jenayah, di peringkat tangkapan, reman dan permohonan ikat jamin. Ujian kemampuan hanya akan dijalankan untuk menentukan kelayakan penerima bantuan guaman di peringkat perbicaraan di mahkamah sahaja. Walau bagaimanapun, bantuan ini tidak meliputi kesalahan yang membawa hukuman mati. Bagi kesalahan yang membawa hukuman mati, Mahkamah Tinggi akan menyediakan perkhidmatan peguam yang dilantiknya (assigned counsel) kepada tertuduh dalam kes sedemikian.

8.       Penubuhan YBGK merupakan pelengkap kepada perkhidmatan bantuan guaman yang diberikan oleh Jabatan Bantuan Guaman dan Legal Aid Centre oleh Majlis Peguam Malaysia. YBGK bukanlah suatu agensi Kerajaan, sebaliknya ia merupakan suatu entiti berbentuk syarikat khairat (charitable company) yang bebas dan neutral dalam melaksanakan tugas dan fungsi memberi bantuan nasihat dan perkhidmatan guaman berhubung dengan prosiding jenayah kepada golongan yang tidak berkemampuan.

9.       Jabatan Bantuan Guaman di bawah Jabatan Perdana Menteri akan terus mengendalikan prosiding jenayah dalam kes-kes rayuan untuk meringankan hukuman bagi mereka yang mengaku bersalah, prosiding jenayah berkaitan dengan kes-kes kanak-kanak serta prosiding sivil dan syariah, manakala Legal Aid Centre yang dikendalikan oleh Majlis Peguam pula akan terus beroperasi memberi bantuan guaman kepada warganegara dan bukan warganegara Malaysia dalam kes-kes yang tidak diliputi oleh YBGK dan Jabatan Bantuan Guaman.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

10.   Saya percaya bahawa Pelancaran YBGK akan dapat memenuhi hasrat Kerajaan untuk memastikan keadilan akan dapat merangkumi dan dinikmati semua rakyat Malaysia tanpa kecuali, kaya atau miskin, terpelajar atau tidak, warga bandar atau desa semuanya mempunyai hak seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan di sisi Undang-undang Negara. Keadilan merupakan  “condition precedent” atau pra-syarat kepada negara dan rakyat yang maju dan berjaya. Penubuhan YBGK ini ialah sebahagian usaha sebuah kerajaan yang bertanggungjawab serta prihatin selaras dengan gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
          
11.   Berteraskan konsep kerjasama pintar (Smart Partnership) antara Kerajaan dengan Majlis Peguam Malaysia, maka hari ini kita menyaksikan YBGK dilancarkan sebagai suatu syarikat khairat (charitable company) yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. Saya turut mengalu-alukan kesediaan Persatuan Undang-undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak serta Fakulti Undang-undang UKM, UM, UUM, UiTM, MMU dan UIA untuk turut menjayakan matlamat penubuhan YBGK. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah merealisasikan penubuhan YBGK ini.

12.   Kerajaan berharap agar Majlis Peguam Malaysia akan terus memberikan sumbangan padu kepada YBGK sama ada dalam bentuk kewangan ataupun latihan.  Majlis Peguam Malaysia boleh memainkan peranan utama membantu YBGK dengan menyediakan kursus kepada mereka yang ingin memberi perkhidmatan sebagai peguam panel YBGK dan menyebarkan maklumat dan kesedaran kepada masyarakat tentang kewujudan perkhidmatan yang disediakan oleh YBGK melalui cawangan pejabatnya di seluruh negara.

13.   Dalam memastikan YBGK berfungsi secara berkesan, kerjasama padu daripada Polis Di-Raja Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain ser ta pihak Mahkamah amatlah penting. Apabila seseorang ditangkap atas kesalahan jenayah, adalah menjadi tanggungjawab pihak PDRM dan agensi penguatkuasaan lain untuk menghubungi peguam panel YBGK melainkan jika orang yang ditangkap itu hendak mengupah peguamnya sendiri. Oleh yang demikian, tujuan Memorandum Persefahaman ditandatangani pada hari ini adalah bagi memastikan komitmen semua agensi penguatkuasaan dalam menjayakan pelaksanaan YBGK. Selain itu, pihak Mahkamah juga perlu memastikan bahawa orang yang hendak dihadapkan ke mahkamah mesti mempunyai peguam.  Hanya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan Mahkamah, Orang Kena Tuduh akan mendapat perkhidmatan bantuan guaman dengan cepat dan berkesan.

14.   Kejayaan penubuhan YBGK telah mengorak langkah pertama ke arah jalinan kerjasama Kerajaan dengan Majlis Peguam Malaysia. Berasaskan kepada kejayaan ini saya ingin menyeru supaya kerjasama sebegini disambut dan diterima baik oleh badan-badan korporat dengan menghulurkan sumbangan dana bagi membantu operasi YBGK. Secara khusus, sebuah firma guaman Tetuan Shearn Delamore & Co. telah tampil memberikan perkhidmatan sebagai Company Secretary secara percuma kepada YBGK sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka. Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada Tetuan Shearn Delamore & Co. atas usaha murni mereka ini. Saya penuh yakin banyak lagi syarikat-syarikat korporat di negara ini yang ingin mengikut jejak langkah firma ini bagi membantu YBGK dengan memberikan sumbangan dana untuk menampung perbelanjaan operasi YBGK.

15.   Sebagai mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin menyatakan sekali lagi harapan saya agar YBGK dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar matlamat serta objektif penubuhannya tercapai untuk memberikan perkhidmatan dan bantuan yang terbaik kepada semua warganegara Malaysia yang memerlukan.

16.   Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan rasminya melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Print Friendly and PDF

No comments:

Post a Comment

Sebarang komen yang dibuat tidak terlibat dengan Sungguhka. Adalah menjadi tanggungjawab dan etika pemberi komen.

There was an error in this gadget

Followers

Blog Ikuti.