Sikap suka melihat dan mengambil kesempatan dengan turut sama melontarkan kritikan ketika anggota parti dikritik lawan perlu dikikis dalam Umno, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Katanya, sikap tidak bertanggungjawab itu perlu dikikis dan dielak dari dijadikan amalan oleh anggota parti kerana perbuatan tersebut tidak selaras dengan model politik baru yang ingin diperkenalkan parti.
“Kita perlu ada tanggungjawab bersama, bukan suka tengok orang lain kena hentam. Kalau pembangkang, sekiranya ada orang dalam parti mereka kena serang, mereka akan pertahankan tetapi dalam parti kita seolah-olah kurang sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggariskan 10 ciri negatif yang perlu dikikis bagi memastikan Pemuda terus dihormati semasa menggulung perbahasan perwakilan Pemuda pada perhimpunan agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari Rabu.
Antara ciri-ciri lain ialah Pemuda perlu mengikis sikap elitis dan egois dengan menganggap rakyat adalah keutamaan, budaya syok sendiri, budaya kad perakam waktu – daftar masuk dan keluar, yang bertujuan menonjolkan diri, budaya sate dan budaya baling batu sembunyi tangan yang bermaksud sentiasa memandang sinis apa yang dilakukan orang lain.
Beliau berkata, walaupun perkara itu sudah menjadi kebiasaan tetapi ia perlu sentiasa diingatkan kerana semua ciri-ciri tersebut akan hanya terhakis melalui penonjolan teladan yang baik di kalangan pemimpin.
“Sekiranya ketua-ketua Pemuda bahagian termasuk saya dapat mengamalkan perkara tersebut dengan politik ikhlas dan jujur, saya rasa perkara ini dapat dielakkan, cuma saya perlu ingatkan banyak kali kerana perkara ini telah jadi kelaziman pada mana-mana parti politik,” katanya.
Sementara itu Anggota Majlis Tertingi (MT) Umno Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika berucap mewakili MT berkata, kemampuan pembahas Pemuda amat mengagumkan dengan banyak perkara, harapan, permintaan diutarakan yang mana kesemuanya berkisar supaya Umno kuat, Umno menang dan terus menjadi tunggak pemerintahan dalam negara.
Beliau berkata, semua pandangan itu akan dibawa kepada perhatian Majlis Tertinggi parti dan beliau sendiri sebagai anggota kabinet akan membawa pandangan-pandangan tersebut di dalam forum-forum dan tempat yang sesuai supaya harapan dan pandangan di kalangan Pemuda dapat dicernakan.
Katanya, mereka bersedia untuk menerima golongan muda bukan sahaja daripada buah fikiran tetapi juga bersedia untuk menerima kepimpinan generasi muda kerana salah satu faktor untuk menggambarkan negara itu maju ialah kesediaan untuk menerima pemikiran orang muda.
Sebanyak 30 isu dibahaskan oleh 13 wakil Pemuda daripada keseluruhan 795 perwakilan.
10 Ciri yang di gariskan oleh Khairy Jamaluddin
10 ciri negatif Pemuda yang perlu dikikis:
1. Elitis dan egois.
2. Suka melihat orang lain dihentam.
3. Syok sendiri.
4. Budaya ‘check in’/'check out’ dan ‘punch card’ – hanya tunjuk muka bila pemimpin ada.
5. Suka ‘enter frame’/ gemar mengambil kredit atas usaha orang lain.
6. Budaya ‘politik sate’ – cucuk dan kipas pemimpin.
7. Baling batu sembunyi tangan.
8. Budaya ‘yes man’ / ‘yes bos’
9. Talam dua muka
10. Oportunis.
Komen Penulis:
Aku rasa 10 ciri yang disebutkan oleh KJ bukan sahaja tepat pada Pemuda tetapi amat tepat ditujukan kepada UMNO itu sendiri. Rata-rata pemimpin UMNO inilah jiwa yang tersemat di dalam minda pemikiran rakus mereka. Berebut-rebut bagi mendapatkan tempat di dalam jawatankuasa bahagian.
Ingin aku tambah sedikit ciri-ciri jiwa UMNO yang ada.....
11. Mencari kesalahan orang.
12. Pandai cakap but kerja hampas.
13. RM.....RM.....RM.....
14. Harap orang lain tolong buat kerja, supaya senang menunding jari kemudian.
15. Hangat-hangat tahi ayam.
16. Karenah birokrasi.
17. Suara akar umbi suara mati.
Malas aku nak komen panjang-panjang. Mereka akan tetap begitu. Ramai cendiakawan generasi baru mampu muncul, tetapi sedihnya mereka ini dihalang.
Terimakasih KJ kerana membuka pekong yang ada, sekurang-kurangnya ada yang mahu muhasabah diri memperbetulkan keadaan. Peduli apa orang akan kata, hakikat ini mereka harus terima.
No comments:
Post a Comment
Sebarang komen yang dibuat tidak terlibat dengan Sungguhka. Adalah menjadi tanggungjawab dan etika pemberi komen.