Sejauh manakah kesungguhan, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran Parti Politik membawa arah tuju yang sebenar.....?

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

- Surah Ali Imran ayat 140 -

Petikan Al-Quran.

Topik Terkini.

Monday, March 28, 2011

Orang Melayu Juga Adalah Pendatang.......! - Video.


Malaysia  terdiri daripada berbilang kaum dan bangsa. Dan inilah yang menjadi asas pembentukan Malaysia semenjak dari 31 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman dan juga rakan-rakan seperjuangan yang lain pada masa itu. Kita juga sering diingatkan untuk tidak membuat kenyataan berbaur rasis yang akan mengganggu gugat keharmonian, serta tidak mempertikaikan hak-hak penduduk asal yang sudah termaktub sejak sekian lama.

Namun, kenyataan dari Adun DAP Bukit Mertajam, Chong Eng, yang mengatakan bahawa “Melayu juga adalah pendatang“, sedikit sebanyak menggangu emosi sesetengah pihak. Lihat video dibawah:


Kenyataan beliau di atas sememangnya boleh menaikkan api kemarahan kaum Melayu. Lebih-lebih, kenyataannya yang kami kira, adalah kurang bijak dan jumud sama sekali. Mungkin Adun DAP ini kurang membaca sejarah Tanah Melayu, jadi tidak mustahil kenyataannya mengenai Melayu juga adalah pendatang, adalah bukan berdasarkan dari hasil penyelidikan yang teliti.

Adalah Adun DAP ini telah lupa bahawa sejarah tanah Melayu sudah pun bermula dari abad ke 14 lagi melalui kesultanan Melayu Melaka? Atau mungkin juga dia sudah lupa sebelum itu juga, sudah wujud penempatan di tanah yang dikenali Malaysia ini sejak abad ke-2 lagi di Lembah Bujang, Kedah?

Mungkin juga dia sudah lupa, kedatangan kaum Cina dan India di Tanah Melayu adalah berasal dari dasar yang diperkenalkan oleh British? Kami pasti ramai daripada anda lebih pandai dalam menjelaskan ketuanan Melayu ini. Kongsikan pendapat bernas anda.

Dipetik dari : Berita Semasa.
Print Friendly and PDF

Sunday, March 27, 2011

MELAYU HILANG MINAT SERTA MULA HILANG KUASA DALAM POLITIK.

Mac-2011 – Ketika kaum lain begitu ghairah mendapatkan tempat sama ada undi dan kedudukan dalam politik, orang Melayu dilihat hilang semangat serta belum sedar tentang pentingnya kuasa politik di dalam negara ini. Jika dulu dilihat orang Melayu menguasai politik, namun senario itu kini telah berubah walaupun kaum Melayu adalah kaum majoriti dan mempunyai beberapa keistimewaan yg sering dipertikaikan, Orang Melayu perlu sedar dan memahami bahawa hakikatnya dalam kebanyakkan bidang kita orang Melayu telah jauh ketinggalan terutama dalam bidang ekonomi, kini sudah mula menampakkan kuasa politik seakan-akan hilang dari pegangan orang Melayu.

Saya melihat perkara ini menjadi ketara apabila baru-baru ini pemilihan parti yang ahlinya berbilang kaum di Klang yang dulu pimpinannya diketuai oleh Melayu kini sudah dirampas oleh bukan Melayu, tidak dinafikan juga parti- parti Melayu yang lain bila mengadakan mesyuarat agong atau pemilihan diperingkat bawah kehadirannya adalah amat merumitkan. apakah ini sudah mula menunjukkan kelemahan atau kepincangan kita orang Melayu dalam berpolitik.

Saya melihat trend yang terjadi ini sesuatu yang agak membimbangkan kerana orang Melayu seolah-olah tidak boleh membayangkan apa akan terjadi jika kuasa politik sudah berpindah tangan, lebih-lebih lagi yang amat mengecewakan kepada generasi muda yang tidak mahu ambil tahu yang mana apabila kuasa politik sudah berubah segala keadaan akan berubah. Kenapa semua ini berlaku, apakah kerana orang Melayu sudah meluat dengan kerenah pemimpin-pemimpin Melayu atau pun hilang punca kerana banyak sangat parti yang hendak memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam sehingga wujudnya perpecahan.

Perkasa perlu memainkan peranan untuk menyatukan kembali orang Melayusupaya bersatu dan menolak fahaman anti Melayu, lslam dan Raja-Raja Melayu serta sentiasa memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahli untuk menyuarakan pendapat tentang apa juga berkaitan dengan kepentingan bangsa Melayu. Perlu diingatkan kemuncak kita berpolitik ialah pilihanraya, Tiada guna berjawatan hebat dalam parti jika parti tidak memerintah dan tiada guna parti bersama memerintah jika tiada kuasa memeritah. Bangsa Melayu perlu sedar dan insaf dengan apa yang berlaku terhadap Melayu di Pulau Pinang. Semasa kuasa politik dalam pegangan kita pasti nasib orang Melayu terbela walau pun dipertikaikan oleh bukan Melayu, tetapi hasrat mereka sering digagalkan oleh Perkasa dan ngo-ngo Melayu yang lain. Maka itu awal-awal lagi mereka sudah melontarkan tuduhan rasis terhadap Perkasa sehingga terdapat juga segelintir Melayu yang sudah hilang punca turut serta menuduh Perkasa itu rasis.

Kita perlu ingat kaum bukan Melayu juga ada NGO malah NGO-NGO mereka cukup kuat menperjuangkan nasib masa depan bangsa mereka malah melalui NGO lah mereka mengatur langkah untuk menguasai ekonomi mahupun politik. Malah tiadapun orang Melayu sibuk menuduh NGO mereka rasis apatah lagi bangsa mereka, sebenarnya kita tidak boleh  membenci atau memarahi kaum lain yang berjaya di negara ini kerana mereka juga merupakan warganegara dan berhak berjaya kerana mereka bersatu dan menggunakan segala peluang dan kesempatan yang ada untuk membawa bangsanya berjaya.

Saya yakin dan percaya bangsa kita juga boleh berjaya dalam apa bidang sekali pun jika kita bersatu dan saling membantu antara satu sama lain.Bermula dengan Jika kita seorang pemimpin,maka pimpinlah dengan jujur, jika kita seorang pentadbir, tadbirlah dengan amanah, jika kita seorang pejuang, maka berjuanglah dengan ikhlas supaya kita dihormati dan disayangi. Yang paling penting antara pemimpin dengan yang dipimpin janganlah terlalu jauh sangat jarak kemewahan dalam kehidupan.

Hari ini rakyat sudah ramai yang bijak pandai serta berilmu, mereka sudah kenal mana kaca mana permata, lebih lebih lagi generasi muda mereka mudah dipengaruhi dan juga ingin hidup mewah seperti yang dipamerkan oleh segelintir anak anak pemimpin mahupun pentadbir.

Kalau kita rasa kita seorang pemimpin atau pentadbir yang bijak dan pandai itu mungkin kita diberi  berpeluang, tetapi perlu diingat ramai lagi yang bijak dan pandai tapi mereka tidak berpeluang. Mereka juga ada keinginan dan cuba mencari jalan untuk mendapatkan peluang, mereka akan berusaha tidak kira dengan apa cara sekalipun asalkan segala cita cita mereka tercapai, Maka berlakulah berbagai cara sahingga mengundang permasaalahan dan wujudlah perpecahan.

Jika kita tidak mahu bangsa kita diperlekehkan dan dipandang hina janganlah berlengah lagi untuk sama sama sedar dan insaf serta kita rangka  semula bagi mengatur strategi untuk menyatukan parti parti Melayu/islam agar kuasa politik Melayu dapat diperkukuhkan dan taraf ekonomi dapat dipertingkatkan. Maka bangsa Melayu akan dihormati serta disengani  didalam Negara Malaysia yang bertuah ini…


Ps/– Penulis adalah Seorang Ahli Dewan Tertinggi Perkasa,Pengerusi Tugas Tugas Khas Perkasa Selangor dan Pengerusi Perkasa Daerah Kelang.
Print Friendly and PDF

Tuesday, March 22, 2011

MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KEDUA BELAS (MAPPA XII).



By       :   DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
Venue: PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)
Date       22/03/2011


1.       Alhamdulillah, marilah bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bertemu dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali kedua belas pada pagi ini.

2.       Pertamanya, ingin diutarakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Mohd. Sidek Haji Hassan selaku Ketua Setiausaha Negara serta YBhg. Dato’ Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kerana mengatur ruang dan kesempatan yang sungguh bermakna ini untuk saya berinteraksi dengan tuan-tuan dan puan-puan secara langsung seterusnya menyampaikan pandangan juga pesanan, sebagai pedoman dalam menggalas tanggungjawab kepada negara dan rakyat.

3.       Mengawali ucapan, saya majukan kata-kata syabas kepada seluruh anggota perkhidmatan awam yang komited terhadap kerja serta prestasi cemerlang sepanjang tahun 2010 yang lalu. Sudah barang pasti, apa yang lebih membanggakan kita semua ialah kesetiaan dan kesungguhan para penjawat awam dalam memahami serta mendokong cita-cita kerajaan, sentiasa pula teguh berdiri sebagai tulang belakang pentadbiran, dalam apa jua keadaan mahupun rintangan, sewaktu susah atau senang, dilanda mendung, panas mahupun hujan bagi melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan. Semuanya disembah bakti bagi membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk rakyat dan Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

4.       Ternyata demokrasi sebagai asas untuk sistem pemilihan kerajaan pasca merdeka oleh bapa-bapa kita adalah satu keputusan yang telah diabsahkan oleh sejarah sebagai sangat tepat. Tambahan lagi, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan telah mewujudkan kestabilan diperlukan kepada sebuah negara yang baru merdeka untuk tumbuh membangun dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

5.       Seperti ramai maklum, dalam sistem demokrasi, yang kata asalnya merupakan gabungan istilah kuno tamadun Yunani iaitu “demos” dan “kratos” masing-masing membawa maksud rakyat dan kuasa. Ini bermakna, pengundi atau rakyatlah sebagai penentu kepada parti politik manakah yang akan membentuk kerajaan. Rakyat berhak membuat opsyen tersebut melalui pilihanraya yang diadakan. Dalam konteks Malaysia, pilihanraya umum dijalankan dalam tempoh lima tahun sekali.

6.       Apapun, demokrasi, sepertimana semua peraturan terdahulu yang telah dicipta manusia, ia bukanlah tataprinsip paling sempurna namun tidak ada siapa dapat menafikan bahawa ia adalah sistem yang paling terbukti kebaikannya. Keberkesanannya dalam mengatur jurus kehidupan bernegara sangat terbukti kerana ia jelas mengambilkira fitrah manusiawi dengan segala kekurangan dan kelebihannya.

7.       Seperkara yang sangat menarik, begitu demokratiknya sistem yang diamalkan bukan sahaja kita tidak pernah memaksa pengundi memilih parti atau gabungan parti tertentu, kita juga tidak pernah memaksa rakyat untuk mendaftar mengundi seperti amalan di beberapa negara lain atau sekalipun jua untuk membuang undi apabila tiba waktunya. Apa yang Kerajaan lakukan hanyalah usaha-usaha bagi memupuk kesedaran. This is in fact the highest obligation demanded of citizenship that of to participate in the process of selecting the leaders and the government.

8.       Dalam hal ini, rakyat mendaftar mengundi apabila cukup usia mengikut undang-undang serta membuang undi memilih calon dan parti yang disukai apabila tiba masanya sebagai tuntutan tanggungjawab sivik yang paling tinggi. Hakikatnya, ia adalah harga atau obligasi sebuah kewarganegaraan yang prihatin.

9.       Persoalannya, apakah asas atau perkiraan yang biasa digunakan untuk memilih sesebuah parti atau gabungan parti untuk menjadi kerajaan yang memerintah? Jelasnya, kriteria atau perhitungan utama adalah ideologi yang didokong, kewibawaan calon dan lakaran manifesto ke mana arah halatuju negara yang ingin dibawa melalui pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

10.   Namun, sudah lumrah a’lami insan apabila dipersonakan oleh pedagang-pedangan impian yang bijak menanam tebu dibibir, menyogok dan menyuguh dengan dokumen-dokumen janji pelbagai corak, ada biru laut, ada hijau gelap, ada putih dan yang terkini jingga pulak warnanya. Semua itu tampaknya dihasil dan dikarang bersandar kepada keseronokan sementara sampai kadangkala membuatkan segelintir terpegun hingga terpedaya bahawa kononnya ada tempayan emas di kaki pelangi. Bak kata orang putih “if it is too good to be true then it must be so”.

11.   Di atas segalanya, beza kerajaan hari ini dan pihak lain dalam bab berjanji amatlah ketara. Kerajaan hari ini apabila kita mengaku untuk melaksana sesuatu,  kita bukan sahaja akan menunaikannya dengan menggunakan segala ikhtiar dan kudrat yang ada malahan sebelum berjanji lagi kita akan memastikan bahawa apa yang dinyatakan itu bersifat realistik, dalam kemampuan kerajaan yang wajar, bertanggungjawab dan mengambilkira semua aspek kesejahteraan rakyat serta kepentingan jangka panjang. Segala-galanya berlandaskan falsafah induk “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

12.   Jadinya, beza parti bertanggungjawab dan tidak bertanggungjawab boleh disaksikan melalui janji yang dibuat kepada rakyat setiap kali menjelang pilihanraya. Parti yang bertanggungjawab tidak akan semberono mengaku untuk berbuat apa-apa pun yang tampak hanya bermanfaat dalam jangka pendek tetapi akan mendatangkan bala bencana kepada negara serta kesengsaraan kepada rakyat bukan sahaja dalam jangka panjang malah dalam masa terdekat pun sudah boleh dirasa kesan buruknya.

13.   Pucuk pangkalnya, parti yang bertanggungjawab lebih rela tidak popular untuk jangka pendek dari membangkrapkan negara dalam jangka panjang. Pastinya lagi, parti yang bertanggungjawab tidak sekali-kali akan membenarkan maruah negara dikompromi atau dipertaruhkan. Pendek kata, kerajaan ini tidak sanggup menyaksikan apa yang telah dibina dengan bertatih dan jerih payah selama ini lebur musnah begitu sahaja.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

14.   Sehubungan ini juga, kita tidak mahu melihat negara terpaksa bergantung kepada ehsan institusi kewangan antarabangsa seperti nasib yang menimpa sesetengah negara di dunia menadah tangan meminta-minta pada satu masa nanti hanya kerana kita ingin menjadi parti populis untuk seketika. Oleh itu, kita tidak akan mungkin membiarkan suatu hari kelak Malaysia berubah status dari negara industri moden berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah “failed state” atau gagal akibat daripada ketidakbertanggungjawaban fiskal dan ketidaktelitian kewangan.

15.   Kerana itulah, antara lain kerajaan telah melaksanakan dasar untuk merasionalisasikan subsidi. Secara prinsipnya, kita percaya subsidi adalah penting bagi golongan dan sektor yang memerlukan. Namun begitu, kita mesti faham bahawa sumber kerajaan adalah terhad manakala permintaan pula sifatnya tidak berkesudahan. Justeru, untuk menjadi sesuatu faktor yang positif, subsidi mesti dioptimakan dengan memberikannya kepada kumpulan dan sektor sasar yang benar-benar memanfaatkan rakyat dan negara. Maksudnya di sini, adalah tidak adil kepada mereka yang memerlukan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, seandainya subsidi diberikan secara pukul rata tanpa mengira kemampuan.

16.   Makanya, untuk memastikan disiplin fiskal terlaksana dengan berhemah, bukan sahaja perbelanjaan wajar dikawal malah sumber hasil juga harus ditingkatkan. Dari itu, adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak untuk memperkenalkan inisiatif-inisatif yang bersifat populis tanpa menjelaskan kepada rakyat apakah kos sebenar serta apakah pula pelan dan rencana untuk membiayainya.

17.   Dengan hanya mengatakan bahawa ia akan dibiayai semata-mata dari hasil penjimatan ketirisan bukanlah merupakan satu penjelasan yang telus dan yang sepatutnya, kerana ia tidak menceritakan kedudukan sebenar yakni ia tidak menjelaskan secara terang kepada rakyat tentang keperluan sebuah kerajaan yang baik untuk menambah hasil dan mengelak daripada dilanda sindrom ketagihan sumber asli.

18.   Oleh sebab itu, dalam membuat pilihan, berwaspada, berhati-hatilah, bukan semuanya sama. Janganlah mempertaruhkan masa depan anak-anak kita kepada tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Janganlah menukar harapan dengan kekusaman dan kebungkaman hari muka. Di persimpangan ini, para cerdik pandai dan orang tua-tua ada berpesan, kalau nak memilih tempat berlabuh, pertama teluk kedua tanjung, kalau nak memilih pohon berteduh, pertama kukuh kedua menguntung.

19.   Begitulah, dalam kehidupan bernegara, kita berada pada satu titik di garisan yang amat penting. Diantara masa depan yang lebih cerah dengan kemakmuran atau masa depan yang kelam dan kekurangan. Ini bukanlah masa untuk mencuba-cuba, ini bukanlah masa untuk bereksperimen, sebaliknya, ini adalah masa untuk terus berpegang dan berpaut kuat, dengan apa yang telah sedia terbukti dan teruji sejak sekian lama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

20.   Bertolak dari apa yang telah saya bicarakan tadi, sebaikmanapun rencana atau perkara dirancang oleh mana-mana kerajaan yang memerintah, namun, perancangan akan tetap tinggal perancangan tanpa dapat dimanfaati rakyat sekiranya tiada penjawat awam yang mampu melaksanakan semua dasar itu dengan cekap dan berkesan.  

21.   Oleh sebab itu, kita berbangga kerana, perkhidmatan awam Malaysia telah diakui sebagai antara yang terbaik di dunia pada hari ini. Ia dibina atas landasan yang kukuh, dan seterusnya dimajukan oleh pemimpin-pemimpin negara kita bersama para anggotanya. Seperti yang kita tahu, semenjak negara mencapai kemerdekaan, pelbagai perubahan dan pembaharuan telah dilakukan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih relevan dan berkeupayaan dalam menjunjung peranan bagi meningkatkan kecemerlangan negara dan kesejahteraan rakyat.

22.   Syukur kepada Allah, formula dan usaha pertumbuhan sebelum ini telah berhasil membangunkan negara daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada pembangunan berteraskan perindustrian. Namun begitu, memasuki dasawarsa baru dan berhadapan dengan putaran ganas globalisasi, Kerajaan menyedari bahawa model pertumbuhan dan pembangunan terdahulu, tidak lagi mampu untuk memacu negara menjadi sebuah kuasa ekonomi maju, malah jika diteruskan juga akan hanya memerangkap negara kita dalam kelompok ekonomi berpendapatan sederhana.

23.   Sebetulnya lagi, jika ditinjau, perancangan penambahbaikkan pembangunan kerajaan yang ada, tidak sekadar bermula dua tahun yang lalu. Realitinya, ia satu usaha berkesinambungan. Ia telah berlangsung apabila kerajaan pertama pilihan rakyat dibentuk, yakni, pasca pilihanraya tahun 1955. Usaha telah dirancakkan lagi apabila negara mencapai kemerdekaan dua tahun kemudian, pada tahun 1957. Rentetannya dirangkumkan melalui, 2 Rancangan Malaya, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang dan hari ini, Model Baru Ekonomi, 8 Inisiatif Pembangunan Strategik, Program Transformasi Kerajaan dengan 6 NKRA serta Program Transformasi Ekonomi bersama 12 NKEA dan 131 Projek Titik Permulaan.

24.   Kita juga mengambil keputusan untuk menambahbaik ekonomi negara bukan secara tempelan tetapi secara komprehensif dengan perubahan struktural dan pengukuhan institusi. Seperti saya sebutkan tadi, kita telah memperkenalkan Model Baru Ekonomi dengan 8 Inisiatif Pembangunan Strategik. Bagi menjayakan maksud ini, antaranya memperkukuhkan sektor awam, mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing dan menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi. Kita bolehlah mengibaratkan Program Transformasi Ekonomi sebagai sebuah kenderaan manakala 8 Inisiatif Pembangunan Strategik pula adalah sebagai sebuah lebuhraya yang dibina dengan begitu rapi dan baik, berpiawai, tanpa becak-becak, tanpa lompang dan lopak, tanpa jongkang jongkit, jalannya lancar menyonsong fajar negara maju berpendapatan tinggi apabila tibanya tahun 2020.

25.   Dengan ini juga, kita melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana secara keseluruhannya, inisiatif dan program-program yang telah dirancang di bawah 6 Bidang Keberhasilan Utama umumnya telah mula terlaksana dan menampakkan hasil yang melangkaui jangkaan. Saya akan perincikan butir-butir pencapaian tersebut semasa Majlis Pelancaran Laporan Tahunan GTP pada 27hb Mac nanti.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

26.   Pada sudut pandang yang lain, kesan daripada Program Transformasi Ekonomi kian ketara apabila keyakinan sektor perniagaan dan para pelabur terhadap ekonomi Malaysia semakin tinggi. Ini boleh kita lihat daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tahun 2010 yang melebihi enam peratus dan prestasi Bursa Malaysia yang telah mencecah tahap penutup tertinggi pada 7 Januari lalu iaitu 1,572 mata. Kita berharap agar ETP dapat meningkatkan daya saing ekonomi, sekaligus membantu negara mencapai pertumbuhan setinggi 6 peratus setahun dan meningkatkan pendapatan purata penduduk kepada RM48,000 menjelang tahun 2020. Kejayaan yang ditempa sebelum ini, dan Insya-Allah yang bakal menyusul, adalah dampak yang dicernakan menerusi pelbagai langkah proaktif transformasi ekonomi serta kemampuan jentera perkhidmatan awam melaksanakannya.

27.   Kendatipun begitu, Kerajaan penuh percaya bahawa usaha untuk mencapai aspirasi nasional ini hanya akan diperoleh menerusi perubahan dan pembaharuan secara lonjakan berganda, bukan lagi usaha secara eceran atau berdikit-dikit. Justeru, transformasi ini memerlukan usaha bersepadu melibatkan sektor swasta, sektor awam dan masyarakat seluruhnya. Dalam aspek ini, sektor swasta perlu menjadi lokomotif yang deras memandu ke hadapan rantaian gerabak sektoral, melalui landasan pembangunan sosioekonomi yang telah dibina oleh kerajaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

28.   Kita sedar segala yang dicitakan hanya boleh diraih menerusi peta laluan komprehensif lagi bersepadu. Demi mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia, memerlukan setiap sektor dan setiap pemain dalam sektor-sektor berkaitan melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Saya telah katakan sebelum ini bahawa tahun 2011 merupakan tahun di mana kita akan mempertingkat momentum untuk melaksanakan agenda negara. Oleh itu penumpuan kita mestilah sepenuhnya mengarah kepada tujuan ini.

29.   Jika kita mahu negara maju dan mencapai kejayaan, institusi perkhidmatan awam haruslah mendokong dan melaksanakan transformasi berdasarkan peta panduan yang diatur mengikut jadual yang telah ditentukan. Justeru, saya menyeru supaya penjawat awam menjalankan tadbir urus dengan rapi dan sektor awam dapat menjadi pemudahcara yang cekap. Kebertanggungjawaban adalah pegangan yang seharusnya menjadi azimat setiap penjawat untuk memberikan khidmat sepenuh hati berasaskan budaya pencapaian tinggi.

30.   Bertolak dari situ, saya ingin menyatakan dengan jelas dan mengumumkan bahawa dasar kerajaan kini menjurus kepada pengurusan yang mementingkan “value management” atau pengurusan nilai. Kaedah pengurusan nilai ini perlulah diterapkan dalam semua pengurusan projek kerajaan bermula dari peringkat awal lagi. Pengurusan nilai perlu menjadi wahana yakni alat pengurusan atau “management tool” bagi mencapai nilai untuk wang. Kita perlu menyoal assumption atau andaian yang ada, adakah terdapat kaedah atau cara yang lebih baik untuk mendapat pulangan optimum kepada perbelanjaan kerajaan.Ada banyak contoh di mana perbelanjaan kerajaan berjaya dijimatkan dengan pengurusan nilai. Ia seharusnya merangkumi pra dan pasca projek termasuklah pemilihan lokasi, rekayasa dan reka bentuk sehingga pemilihan bahan pembinaan yang bersesuaian.

31.   Misalannya, semasa lawatan saya ke Sarawak dari baru-baru ini, pendekatan melaksanakan projek berimpak tinggi dengan kos yang munasabah telah digunakan dengan jayanya bagi menyelesaikan masalah penduduk. Contohnya, jalan penghubung di Ba’kelalan yang sekiranya dilaksanakan melalui kaedah biasa akan memerlukan peruntukan sebanyak RM400 juta telah dilaksanakan dengan kos RM50 juta sahaja. Perkara ini telah dapat dilakukan dengan menggunakan kaedah Program “Jiwa Murni” Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia yang menggembleng tenaga anggota tentera untuk membina jalan dan peruntukan hanya disediakan untuk pembelian material serta sewa jentera. Apa yang mustahak adalah sesuatu khidmat atau projek itu mestilah diacuankan bagi memenuhi keperluan serta kehendak setempat tanpa berkompromi dengan piawai yang sewajarnya dan mustahaknya rakyat dapat menerima manfaat dengan segera.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

32.   Pada pandangan saya, minda dan bakat terbaik tidak hanya boleh digamit atau dilambai menerusi ganjaran kewangan yang menarik, tetapi dengan menyediakan kepada mereka pembangunan kerjaya yang mengujakan. Lazimnya, modal insan berbakat memerlukan inspirasi, bukan diarah atau disuap. Selalunya, seumpama bunga yang sedang menguntum kelopak, mereka ingin mekar tanpa dibatasi oleh kekangan hirarki atau diraut oleh belati tradisi. Mereka akan memilih persekitaran yang memberi peluang untuk meningkat ke mercu berteraskan potensi diri masing-masing. Mereka tidak akan tertarik dengan organisasi atau struktur perkhidmatan yang berlapis, sebaliknya cenderung kepada flat organisations. Oleh itu barangkali di sinilah cabaran sebenar perkhidmatan awam iaitu untuk menarah struktur organisasi supaya lebih horizontal dan menganyam semula birokrasi supaya lebih luwes atau fleksibel.

33.   Manakala pegawai-pegawai awam di peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi perlu dihantar untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi menyediakan mereka dengan kemahiran kepimpinan. Pada masa yang sama, kemajuan kerjaya dan peluang-peluang kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana akan diperluaskan kepada pegawai yang telah berjaya memiliki kelayakan lebih tinggi. Peluang ini dibuka untuk meningkatkan motivasi dan melahirkan penjawat awam yang berdaya saing.

34.   Di samping mempamerkan komitmen kerja padu, terdapat juga penjawat awam yang turut bergerak aktif dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti positif yang menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan organisasi, rakyat dan negara.  Sehubungan itu, bagi mengiktiraf sumbangan di luar daripada kebiasaan tersebut, selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kerajaan akan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai pegawai awam yang selain berupaya menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat, mampu pula bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan yang boleh mengharumkan nama organisasi, rakyat dan negara.  Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti di sepanjang tahun 2011 ini akan dinilai bagi tujuan tersebut.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

35.   Kita masih terdengar suara-suara di kalangan sesetengah pihak bahawa perkhidmatan awam bersaiz agak besar, kurang responsif, bercenderung kepada ketirisan serta beberapa hal yang lain. Bagi mengubah tanggapan ini, kita perlu mewujudkan jentera perkhidmatan awam yang cekap, efisien, berproduktiviti tinggi, lebih kreatif dan inovatif dengan mengutamakan pencapaian di mana setiap pelaburan dalam modal insan diguna sepenuhnya tanpa pembaziran.

36.   Lantaran itu, lean civil service atau “perkhidmatan awam yang kejap” adalah ditafsirkan sebagai sebuah perkhidmatan awam yang mempunyai saiz penjawat awam mantap, digembleng sepenuhnya untuk beroperasi ke arah mencapai matlamat perkhidmatan.

37.   Sejajar dengan matlamat GTP ke arah perkhidmatan awam yang kejap dalam jangka panjang, kajian terperinci ke arah merasionalisasikan perkhidmatan awam akan dilaksanakan bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi-fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan-jawatan kosong dan pemansuhan jawatan serta pengagihan semula perjawatan ke agensi yang lebih kritikal.

38.   Untuk itu, perkhidmatan awam perlu meruntuhkan mentaliti silo yang menyaksikan perbuatan berlumba-lumba mempertahankan medan kepentingan masing-masing sehingga mendatangkan kesan yang negatif  kepada kepentingan rakyat dan Negara.

39.   Dalam kekangan mentaliti sebegitu, sebarang matlamat dan inisiatif program baru kerajaan akan lazimnya dituruti permohonan pertambahan sumber kewangan dan manusia. Kesan akhir mentaliti silo akan hanya menyebabkan pertindihan fungsi dan pembaziran. Mentaliti ini boleh ditukar melalui perubahan mindset yang didorong oleh kreativiti dan inovasi di kalangan pelaku-pelaku utamanya.

40.   Di sini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia. Apabila kerajaan menetapkan bahawa mengurangkan jenayah menjadi salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama di bawah Pelan Transformasi Kerajaan, walaupun datang dari dua perkhidmatan berbeza, mempunyai cara kerja, bidang kuasa, etos malahan corak memberi tabik hormat pun berlainan, namun demi rakyat dan demi Malaysia mereka telah sanggup melampaui kepentingan perkhidmatan jangka pendek masing-masing.

41.   Pihak ATM dan PDRM telah berjaya membentuk satu pakatan yang memecah tembok tadisional dan konvensional selama ini. Contohnya, kalau dulu kawalan sempadan juga menjadi tanggungjawab Pasukan Gerakan Am tetapi hari ini setelah penubuhan Rejimen Sempadan Tentera Darat, fungsi ini telah berpindah kepada pihak Tentera Darat. Ini membolehkan anggota-anggota PGA yang selama ini bertugas di sempadan, dialih guna untuk tugas pencegahan jenayah di kawasan-kawasan panas. Contoh kedua, kem-kem latihan ATM telah dibuka kepada rekrut baru PDRM. Ini membolehkan pertambahan anggota PDRM dibuat tanpa pelaburan infrastruktur yang besar.  Kesimpulannya, inilah hasil sinergi antara jabatan yang sangat menguntungkan. Inilah kejayaan aplikasi creative solution atau penyelesaian kreatif yang sungguh bijaksana. Tahniah saya ucapkan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

42.   Selanjutnya, kajian semula pembangunan kompetensi anggota perkhidmatan awam dan rangka kerja kawal selia sedang dalam perencanaan. Dalam pembentangan Bajet Tahun 2011 pada 15 Oktober 2010 lalu, saya telah mengumumkan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan yakni PTK dan digantikan dengan sistem penilaian yang lebih sesuai kepada penjawat awam menjelang Jun 2011.

43.   PTK kini akan digantikan dengan satu penilaian baru yang lebih berfokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan pegawai serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan. Untuk memastikan penilaian ini relevan, menyeluruh dan sesuai dengan kehendak penjawat awam, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

44.   Mengenai sistem pool yang turut saya bangkitkan dalam siri MAPPA yang lepas, satu Jawatankuasa Penilai Pemantauan Prestasi telah ditubuhkan bagi memastikan pegawai-pegawai terlibat tidak teraniaya dimana elemen natural justiceserta penilaian secara bebas lagi berkecuali diamalkan. Pegawai-pegawai berkenaan juga diberikan tugasan-tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka. Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, satu kaedah exit policy akan diwujudkan di bawah Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia untuk menamatkan perkhidmatan pegawai tersebut.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

45.   Integriti dalam memelihara amanah, komitmen menjalankan kewajiban dan ketegasan menegakkan keadilan sosial sewajibnya menjadi tunjangan perkhidmatan awam. Pada hemah saya, mahu tidak mahu, jati diri, falsafah dan aspirasi perkhidmatan awam hendaklah diperteguhkan pada tiap masa. Ke arah itu,“Berkhidmat Untuk Negara” bukan sekadar slogan yang dititipkan tanpa roh menerusi surat-menyurat rasmi, tetapi ia perlu dihayati dan dijelmakan dalam setiap tindakan penjawat awam.

46.   Dalam memupuk integriti ini, kita sesungguhnya berasa sukacita apabila Dato’ Sri Hj. Abu Kassim bin Mohamed iaitu Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah disenaraikan sebagai individu keempat daripada 100 orang paling berpengaruh di dunia dalam etika perniagaan sepanjang tahun 2010 di atas pelaksanaan berterusan membanteras gejala rasuah. Tahniah diucapkan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

47.   Sebagai tanda penghargaan kepada para penjawat awam yang telah berjasa, Kerajaan dengan ini membuat keputusan bahawa, berkuatkuasa mulai tarikh semasa, pesara Skim KWSP yang bersara pada umur wajib atau yang bersara di bawah Sekyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan percuma. Pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada pesara Skim KWSP ini, hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah Skim KWSP yang telah dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Walau bagaimanapun, ia tidak merangkumi mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

48.   Di samping itu, berkat usaha Kerajaan menguruskan kewangan dengan bijak, sehingga kita mulai pulih daripada masalah ekonomi, berkuatkuasa mulai tarikh semasa juga, ganjaran akan dibayar seratus peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah Skim Pencen sekaligus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran yang sebelum ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

49.   Untuk menjayakan sebuah transformasi pastinya melibatkan perubahan, pembaikan dan pengukuhan kepada tiang seri institusi serta struktur perkhidmatan awam itu sendiri. Ertinya, pertama: perubahan kepada mindset, kedua: pembaikan kepada sistem nilai dan ketiga: pengukuhan kepada gerak kerja. Bagi memenuhi hasrat tersebut, kajian semula Sistem Saraan Malaysia sedang dijalankan untuk menjadikan perkhidmatan awam negara ini lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi. Untuk makluman, kajian komprehensif ini bukan sahaja meneliti aspek saraan semata-mata, tetapi juga bakal mewujudkan struktur dan sistem yang dinamis bagi menterjemahkan agenda transformasi kerajaan serta ekonomi. Pokoknya Perkhidmatan Awam negara ini mestilah mencapai tanda aras global.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

50.   Ini adalah kali ketiga kita bertemu dalam majlis MAPPA semenjak saya memegang amanah sebagai Perdana Menteri. Dalam tempoh tersebut, Alhamdulillah, berkat muafakat dan berpegang kepada falsafah pemandu “Rakyat DiDahulukan Pencapaian Diutamakan” kita telah dapat bersama-sama mengeluarkan negara ini daripada gelora ekonomi global dan meletakkan Malaysia di kedudukan seperti sedia ada.

51.   Sememangnya, kejayaan yang dicapai bukanlah punya saya secara peribadi. Akan tetapi, Ia milik dan hasil kerja keras serta usaha gigih setiap kita, terdiri daripada anggota-anggota pentadbiran, segenap penjawat awam sama ada pengurusan tertinggi, pengurusan profesional, mahupun kumpulan pelaksana. Inilah tuaian daripada kerancakan sektor swasta, tentunya juga kesan komitmen padu oleh GLC dan GLIC.

52.   Kesyukuran tidak terhingga dipanjatkan kepada yang Maha Esa bahawa dalam keadaan ekonomi global masih tidak menentu ini, kita tetap berjaya menjana pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus pada tahun lalu. Ia melebihi kadar minima 6 peratus setahun yang disasar  bagi merealisasikan Wawasan 2020.

53.   Secara dasarnya, kita kini diambang awal transformasi nasional. Masih banyak lagi kerja ingin dibereskan, masih banyak lagi pembaharuan mahu diaturkan dan masih banyak lagi islah hendak dilaksanakan.

54.   Renungkanlah dalam-dalam disaat ini, adakah kita sedang mencipta sebuah negara yang aman damai, makmur, ikram dan ceria atau sekeping mayapada yang kucar-kacir, miskin dan kontang? Pilihannya terletak di jemala masing-masing.

55.   Beringatlah, bahawa apa yang dilakukan hari ini bukan sekadar terkesan kepada generasi semasa tetapi lebih utama ia bakal menentukan rupa wajah negara bangsa untuk dihakimi oleh sejarah serta generasi mendatang.

56.   Kata orang :

       Usah dek inginkan menang sorak, kampung halaman sampai tergadai,
       Usah dek kerana kita leka bermain api, terbakar jiwa anak cucu nanti,
       Usah dek kerana kelalaian memanfaat peluang, tersabung masa depan pewaris pejuang,
       Pikullah tanggungjawab, junjunglah amanah,
       Demi rakyat, Demi Malaysia,
      Tinggalkanlah legasi yang bermakna sebagai bekal kepada mereka.

57.   Semoga Allah SWT melimpah taufik dan memberi redha-Nya kepada perjalanan kita ini.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

22 MAC 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kanan) menunjukkan buku Perkhidmatan Awam selepas majlis pelancarannya sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-12 (MAPPA XII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. - Utusan/HANAFI KHAMIS
Print Friendly and PDF

Surau RAPID Jadi Medan Tazkirah Politik...?


Baru-baru ni 16 Mac 2011, semasa aku diajak oleh member-member dari Rapid dan Prasarana yang Pro UMNO melihat apa dah berlaku pada Rapid sekarang ini. Teringat dalam artikal aku yang lepas menceritakan pasal "Fill In The Blank" spesisi manusia yang bertopengkan.......

Ternyata apa yang aku katakan itu berlaku di hadapan mata aku. Pada mulanya aku rasakan apa salahnya berbuta demikian, selagi dia bergelar Ustat tambahan pula bekas Mufti Masjid Negara mengadakan tazkirah di mana-mana tempat demi menegakkan syiar Islam berkongsi-kongsi ilmu Agama itu.

Tapi sangkaan aku melalut merata apabila makin lama tazkirah dibaca, bertambah panas isu-isu politik diperkatakan. Waktu rehat 1 jam itu diisikan penuh dari tazkirah kepada ceramah. Terasa macam nak suruh ustat tu berhenti, tapi apakan daya aku hanya pendatang. Tak elok kalau mengganggu majlis orang. Lebih-lebih lagi GMD tu orang Najib (depa kata).

Bila aku tanya geng-geng surau Rapid KL Subang tu, GMD tau ka pasal menjemput YB Ustat Taib Azamuddin membuat tazkirah di surau ni.......? Depa kata GMD tak kacau bab-bab ni. Tak sangka ramai juga geng Rapid ni orang PAS dan PKR.

Dikabarkan juga berlaku di Proton dan Naza Gurun cuma penceramah dia orang lain laaa.......

Print Friendly and PDF

Monday, March 21, 2011

Kerajaan DAP Pulau Pinang Diskriminasi Rakyat Kawasan Parlimen BN.


Dilaporkan bahawa rakyat di kawasan parlimen Barisan Nasional (BN) telah didiskriminasi oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung dengan pemberian Wifi percuma.

Agak mengecewakan apabila, kenyataan Jeff Ooi, MP Bukit Jelutong, dengan secara terang dan jelas, tidak akan menyediakan Wifi terhadap 3 kawasan yang dimenangi oleh BN atas alasan, tidak mempunyai sumber yang mencukupi. Alasan yang memang nampak sangat tidak munasabah!

Bukankah Laporan Audit sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai kewangan yang diberi penarafan yang tinggi dan baik? Jadi, nampak sangatlah ianya keputusan yang diambil dari sudut politik! Bukanlah dari sudut mewujudkan kemudahan secara saksama.

Kami agak kecewa dengan sikap ahli politik, baik BN atau DAP atau PKR sekalipun, yang tidak habis-habis menggunakan agenda politik dalam setiap hal.Dan kali ini, apakah rakyat kawasan BN tersebut bukan rakyat Pulau Pinang? Mengapa perlu ada tindas-menindas? Berikut di bawah adalah kenyataan Jeff Ooi berhubung kes ini:

The Penang state government will continue to exclude three parliamentary constituencies held by non-Pakatan Rakyat MPs in its free WiFi initiative.
Citing limited funds, Penang Telecommunications Task Force chairman Jeff Ooi said the state resources were too limited to extend the service to Kepala Batas, Tasek Gelugor and Nibong Tebal.
Former Prime Minister Tun Abdullah Ahmad Badawi is the MP of Kepala Batas while the MP for Tasek Gelugor is Minister in the Prime Minister’s Department Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.Nibong Tebal MP Tan Tee Beng quit PKR last year and has joined Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).
“There is no point investing money in Kepala Batas, Tasik Gelugor and Nibong Tebal for now.
“If we have the resources, we will, but our resources are limited so we are focusing on the Pakatan-held constituencies,” Ooi, who is Jelutong MP, told reporters yesterday.
If the local people in the constituencies want WiFi, then they should vote for Pakatan, Ooi added.
Wakil rakyat apa ni? Kenyataannya menyuruh penduduk kawasan BN mengundi Pakatan jika ingin mendapat perkhidmatan Wifi percuma, amatlah dangkal sekali. Ini bukan berlaku kepada wakil rakyat DAP sahaja, malah PKR, PAS dan UMNO juga, yang sering melibatkan segala hal dalam politik.

Sekiranya ianya mencakupi kebajikan dan kemudahan untuk rakyat, adakah kita perlu diskriminasi? Walaupun Wifi, bukanlah sesuatu yang amat penting seperti air, atau eletrik, namun tidak perlulah mendiskriminasi terhadap sesuatu penduduk.Apa pandangan anda mengenai isu ini?
Print Friendly and PDF

Friday, March 18, 2011

Fill In The Blanks.......?


Aku mendapat emai dari seorang pembaca setia yang ingin aku kongsikan bersama buat renungan semua.


Nama
GLC/Organisasi
Keanggotaan Parti
1.
Tengku Zafrul
Maybank Investment Bank
?
2.
Zainal Aznam
NEAC
?
3.
CEO-CEO GLC
TNB, Telekom Malaysia, Proton
?

Kita telah pun melihat dua individu di atas yang mengkritik secara bebas polisi Perdana Menteri (PM) di forum awam.  Memang betul seperti kata komen di blog pro BN dan UMNO bahawa mereka ini tidak sepatutnya mengeluarkan komen sensitif yang boleh mendatangkan kritikan kepada PM dari DAP, PAS dan PKR.

Persoalannya dari parti manakah mereka ini? Atau pun mereka ini tidak ada parti/neutral/profesional atau memang ahli cerdik pandai sahaja.

Tidakkah mereka tahu yang tempat mereka yang empuk dan bergaji besar mengalahkan gaji Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah sebahagiannya hasil perjuangan dari UMNO dan BN?

Oleh itu saya ingin mencadangkan kepada PM agar membuat kajian kepada keahlian parti CEO semua GLC milik kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri.  Ianya boleh dibuat secara senyap dan lihat hasilnya.  Kalau boleh, ini perlu dibuat segera memandangkan pilihanraya sudah pun hampir tiba.

Bagi saya sebenarnya, pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi FELDA sepatutnya dicontohi iaitu pelantikan untuk jawatan penting GLC adalah dari kalangan ahli parti UMNO yang patut diberi ‘priority’ atau keutamaan. 

Sebenarnya memang ramai kalangan profesional dan berpengalaman dari UMNO yang berkelayakan untuk menjadi peneraju utama GLC, cuma mereka ini tidak diberi ruang dan peluang sahaja. 

Mungkin juga dari kalangan CEO GLC sekarang sudah mempunyai rangkaian mereka sendiri, contohnya Khazanah akan melantik dari kalangan rakan mereka untuk menjadi CEO syarikat milikan Khazanah dan amat sukar untuk dilantik CEO yang bukan dari kalangan rakan mereka. 

Mengapa tidak kita cadangkan setiap UMNO Bahagian boleh keluarkan senarai kalangan ahli profesional mereka (sebagai contoh mereka yang telah menyumbang kepada parti dan mempunyai kelayakan tinggi seperti ijazah, sarjana atau doktor falsafah (PhD). 

Dari senarai inilah setiap Bahagian akan dapat mencadangkan mungkin seramai 10 orang ahli mereka untuk diberi jawatan utama dalam GLC.  Kemudian diberi kuasa kepada PM untuk menilai dan melantik mereka yang berkelayakan , berpengalaman dari kalangan ahli UMNO mengepalai GLC, dan ini akan dapat membasmi penularan gejala kerja dengan kerajaan (GLC) tetapi sokong pembangkang yang semakin berleluasa di Malaysia.  Setidaknya pun, pelantikan ahli UMNO sebagai CEO akan mencerminkan bahawa UMNO juga ada calon yang mantap dan tidak ketandusan cerdik pandai sebagai mana yang digembar-gemburkan oleh pembangkang.

Berdasarkan pengalaman saya, ahli UMNO yang berjuang semasa pilihanraya dan juga menentang pembangkang dari segenap aspek perlu diserap masuk ke GLC untuk membasmi gejala pembangkang di GLC.

Di PLUS sebagai contoh, program untuk Maulud Rasul atau Maal Hijrah yang diadakan di Kedah dengan peruntukan PLUS diadakan di surau yang berada dalam kawalan PAS.  Ini dibuat secara terang-terangan, walau pun mungkin CEO nya tidak sedar ini sedang dan akan terus berlaku jika tidak dibendung diperingkat syarikat.  Ini berlaku apabila pekerja yang menjadi ahli PAS yang menjaga peruntukan syarikat terus memberi cadangan dan keputusan untuk membantu parti mereka.

Sebagai contoh lain, kita boleh lihat GLC seperti Proton juga mempunyai ramai kakitangan yang menyokong Pakatan Rakyat atau pun ahli PAS (ada laman blog yang telah pun ‘highlight’ perkara ini.  Ini memang jelas dan nyata dan tidak sepatutnya berlaku (patut la kereta Proton ada banyak masalah kualiti). Saya tidak tahu untuk GLC yang lain seperti Khazanah, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional (TNB).  Mungkin boleh mendapat sedikit maklumat untuk kita kongsi bersama.

Satu lagi profesion yang dibayar oleh kerajaan gaji tepat pada 26 hb setiap bulan dan cenderung menyokong PR ialah guru.  Ini juga perlu ditangani oleh kerajaan dengan segera kerana dari pengamatan saya, mungkin 60% ke 70% guru amat cenderung menyokong pembangkang, terutamanya guru-guru muda. Sudah sampai masanya kita perlu menyedarkan mereka bahawa mereka ini makan gaji dengan kerajaan yang mereka telah cop sebagai zalim dan tidak adil. 

Syarikat pengurusan koridor juga seperi ECERDC, NCIA dan SEDIA juga perlu di pantau agar tidak terdapat elemen mereka yang cenderung kepada pembangkang atau pun tidak berparti bekerja di situ kerana ada ramai lagi ahli UMNO yang layak dan berpengalaman boleh melakukan kerja yang baik di situ.

Saya percaya dengan PM menggerakkan inisiatif ini iaitu memeriksa keahlian parti setiap CEO GLC akan menyedarkan mereka bahawa kerusi empuk mereka  itu sebahagiannya juga adalah hasil perjuangan ahli UMNO yang menyokong kerajaan BN, walau pun ada sesetengah dari mereka tidak menyokong polisi kerajaan dan menghentam balik polisi dan pelantikan kerajaan dan PM seperti Tengku Zafrul.

Yang saya tahu YBhg Dato Redza Rafiq, Ketua Eksekutif, NCIA adalah Ketua Cawangan UMNO Cyberjaya Centre.   Y.Bhg Dato Ahmad Ibnihajar , Penang Port juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung.  Yang lain-lain tu saya minta komen dari saudara dan saudari sekelian.  Kita patut tanya pada Dato Seri Abdul Wahid, Maybank, Dato Seri Che Khalib, TNB, CEO Perodua, CEO Proton, MD PLUS dan lain-lain GLC adakah mereka ini ahli UMNO atau pun neutral; supaya mereka sedar dari mana jawatan yang mereka pegang mereka dapat.  

Ianya diperolehi bukan sahaja dari kelayakan dan pengalaman mereka semata-mata, tetapi mereka juga perlu berterima kasih kepada semua ahli UMNO yang selama ini bekerja keras dan setia untuk BN memegang tampuk pemerintahan.  Kenanglah jasa dan titik peluh perjuangan UMNO, terutama sekali ahli peringkat akar umbi (grassroot) yang berjuang bermati-matian terutamanya sewaktu pilihanraya.

Sebagai perbandingan juga, kalau diperhatikan di Kedah misalnya, semua CEO GLC negeri ditukar kepada ‘political appointment’ sebaik sahaja PAS memegang tampuk pemerintahan negeri, dan hasilnya semua GLC sekarang ‘contribute’ kepada parti mereka.  Malangnya ada sesetengah ‘appointment’ ini tidak menepati kriteria calon yang layak dan berpengalaman, sebagai contoh seorang engineer kilang telah diambil menjadi Presiden yang menguruskan sebuah taman teknologi.  

Ini hendaklah diambil iktibar oleh BN dan UMNO agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.  Hanya cadangkan orang yang betul-betul berkaliber sahaja untuk mejadi CEO di GLC milik Kerajaan Persekutuan untuk kita gantikan CEO GLC yang cenderung kepada pembangkang.

DAN YANG PALING PENTING SEKALI, KEPADA SEMUA CEO GLC; JANGAN BERI RUANG KEPADA DAP, PAS DAN PKR UNTUK MENYERANG PERDANA MENTERI DAN BARISAN NASIONAL.  SEBALIKNYA BANTULAH PERDANA MENTERI MENDOKONG POLISI KERAJAAN IAITU ETP, NKRA, NKEA, EPP DAN MODEL EKONOMI BARU.

SOKONGLAH PM, BN, UMNO DAN KERAJAAN 100%

Tetapi kena ingat juga, tidah semua yang menyokong UMNO tu benar-benar setia pada UMNO. Ada yang lebih nampak PROJEK dan RM sahaja…….

Dan tidak semua UMNO tu panda mentadbir……. Yang tidak berparti  (TUNGGU DAN LIHAT) tidak pandai mentadbir…….

Berikanlah kepada mereka yang benar-benar layak. POLITIK DAN KETELUSAN MENTADBIR IBARAT LANGIT DENGAN BUMI…….
Print Friendly and PDF

Followers

Blog Ikuti.