Sejauh manakah kesungguhan, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran Parti Politik membawa arah tuju yang sebenar.....?

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

- Surah Ali Imran ayat 140 -

Petikan Al-Quran.

Topik Terkini.

Saturday, July 10, 2010

UMNO Tidak Akan Lupa Di Kafirkan PAS.....!

Oleh kerana UMNO bekerjasama dan menjalinkan persahabatan dengan parti-parti yang bukan Islam seperti MCA dan MIC dalam memerintah Negara, maka PAS telah mengambil peluang ini dengan membangkitkan satu isu mengkafirkan ahli ahli UMNO. Isu ini tersebar luas terutama di Kelantan dan Terengganu antara 1964 hingga 1986, kecuali semasa PAS berada dalam Barisan Nasional antara tahun 1974 hingga 1977.

Isu ini dibangkitkan oleh PAS berdasarkan sumber antara lain Al Quran, surah Al Imran ayat 28 yang bermaksud:

"Jangan orang-orang yang beriman mengambil orang orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan Sesiapa yang melakukan (larangan) yang sedemikian maka tidaklah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun, kecuali kamu hendak menjaga diri dari bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (orang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyaksi kamu) dan kepada Allah tempat kembali ".

Ayat-ayat ini dibaca dan diterjemahkan oleh orang-orang PAS tanpa diberi penjelasan yang tepat terutama mengenai sebab-sebab ayat itu diturunkan. Ini dilakukan semata-mata bertujuan untuk membuktikan bahawa ahli-ahli UMNO itu kafir kerana bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam, dan yang lebih mendukacitakan lagi ayat ayat itu juga diterjemahkan hanya sekerat sahaja ( Kecuali kami hendak menjaga diri daripada bahaya yang ditakuti dari pihak mereka ) ditinggalkan.

Kepada orang-orang Islam yang kurang berpengetahuan agama apabila mendengar dakwaan ahli-ahli UMNO kafir yang disertakan dengan ayat-ayat suci Al Quran sebagai bukti, mereka bersungguh sungguh mempercayai dakwaan itu, akhirnya timbullah perasaan was-was, curiga mencurigai antara satu sama lain sehingga membawa kepada peristiwa-peristiwa yang tidak diingini seperti membatalkan sembahyang dibelakang imam orang orang UMNO/Barisan Nasional, mengharamkan memakan daging sembelihan orang orang UMNO, membatalkan pernikahan imam-imam yang menyokong UMNO dan macam macam kejadian lagi.

Tujuan PAS membangkitkan isu ini, adalah jelas untuk menyekat orang orang Melayu/Islam daripada menyertai UMNO dan menyokong Barisan Nasional dalam pilihanraya- pilihanraya yang di adakan. Supaya PAS dapat meraih kemenangan diatas kerusi kerusi yang dipertandingkan.

Walaubagaimana pun kita bersyukur isu mengkafirkan ahli-ahli UMNO sekarang ini tidak begitu kedengaran lagi setelah PAS merobah haluan politiknya dengan menjalinkan kerjasama dengan Parti Semangat 46 dan DAP dan pemimpin pemimpin utama PAS sendiri telah mengisytiharkan bahawa kerjasama dengan DAP tidak bertentangan dengan akidah Islam. ( Rujuk ucapan Allahyarham Datuk Fadzil Noor di majlis ceramah politik di pejabat PAS Perlis 4hb Mei 1990 )

Sebenarnya percanggahan berlaku se-awal tahun 1990-an lagi. Kepimpinan Presiden Pas ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah dianggap oleh pemimpin bawahan parti sebagai menyimpang daripada perjuangan Islam yang didukung oleh Abdul Hadi. Ini kerana Pas berkawan dengan orang-orang yang dianggap mungkar, yang pernah disifatkan oleh Abdul Hadi sebagai taghut. Dan mereka lantas mengingatkan Abdul Hadi kepada janjinya untuk memutuskan hubungan dengan Parti Melayu Semangat 46 ( Semangat 46 ) jika parti serpihan UMNO itu mengadakan pakatan dengan DAP.

Ketika itu Pas bukan hanya mempunyai pakatan dengan Semangat 46 tetapi sudah menjalinkan kerjasama secara langsung dengan DAP. Ini adalah imbauan awal. Walaupun ia tidak melibatkan soal hukum tetapi dasar parti sentiasa berubah-ubah hingga mengelirukan ahli dan ulama Pas sendiri. Sebagai contoh, bekas ahli jawatankuasa Lujnah Undang-Undang Pas Pusat, Suhaimi Said pernah berkata dalam tahun 1990 bahawa ulama Pas mesti berhenti daripada membuat pelbagai hukum dan fatwa yang mengelirukan ahli sedangkan hukum-hukum itu berubah-ubah tanpa menentu. “ Sekejap halal, sekejap haram, sekejap kafir dan sekejap tidak kafir,'' tegasnya.

Fatwa yang tidak menentu seperti itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi ahli Pas berkecamuk sesama sendiri. Akhirnya timbullah pelbagai kumpulan dengan dasar serta pemikiran tersendiri sehingga tidak boleh dikawal lagi. Salah siapakah kiranya kesongsangan ini berterusan sehingga ke hari ini? Siapakah yang akan menanggung dosa sekiranya kesongsangan ini menyentuh dan merosakkan akidah?

Maka apa yang Suhaimi, yang juga bekas penasihat undang-undang Pas ketika itu mahu ialah Abdul Hadi menjelaskan kedudukan sebenar beberapa kekeliruan hasil daripada pelbagai fatwa yang dibuat oleh Pas, adalah tepat. Antara yang mahu dijelaskan ialah mengenai mengkafirkan orang UMNO, sembelihan orang UMNO haram, pernikahan yang dilangsungkan oleh jurunikah kerajaan ( ketika itu UMNO ) tidak sah dan perkuburan asing bagi orang UMNO dan Pas. Sampai sekarang masih lagi tiada jawapan yang diberikan oleh Abdul Hadi.

Lebih relevan dalam konteks hari ini ialah apabila Suhaimi juga berpendapat: ``Pas perlu menerangkan kedudukan parti apabila menuduh UMNO yang bekerjasama dengan MCA sebagai kafir. ``Ini kerana rakan dalam Angkatan Perpaduan Ummah yang disertai oleh Pas, iaitu Semangat 46 telah bekerjasama dengan DAP. Adakah ia dianggap sebagai kafir juga?'' Semua persoalan ini mungkin berlaku lebih 18 tahun dahulu dan isu mengkafirkan UMNO berlaku seawal tahun 1986 lagi tetapi ia tidak bererti `rekod lama' ini tidak diputarkan semula hari ini, lebih-lebih lagi dalam selepas pilihan raya umum ke -12 yang lepas dan juga pilihanraya-pilihanraya yang akan datang.

Pada 2-4-2008 yang lalu di Hulu Terengganu, kita dikejutkan pula dengan berita seorang bapa enggan menjadi wali dimajlis pernikahan anaknya kerana perbezaan politik. Dalam hal ini siapa yang harus dipersalahkan? Masih lagi Abdul Hadi membisu seribu bahasa.

Tetapi dalam konteks hari ini dan demi menyelamatkan akidah orang Islam, khususnya para pengikut Pas yang tidak mampu berfikir dan bersikap `apa yang dikatakan oleh tok guru adalah betul,' maka Pas – Abdul Hadi dan Nik Aziz perlu menjawab soalan Suhaimi yang mahukan penjelasan mengenai kedudukan parti itu berhubung tuduhan yang menganggap UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC sebagai kafir.

Adakah hanya UMNO yang berkawan dengan MCA dan MIC sahaja termasuk dalam kategori tuduhan Pas iaitu kafir tetapi Pas yang mengadakan kerjasama dengan DAP dan Keadilan dalam Pakatan terbaru iaitu Pakatan Rakyat dikecualikan?

Orang Melayu tak akan lupa apabila Abdul Hadi berpelukan dengan Lim Kit Siang, pemimpin yang secara terbuka menentang penubuhan negara Islam Pas. Adalah malang bagi pengikut parti itu yang mempercayai fatwa seperti ini, yang hanya bermatlamatkan politik dan kejayaan dalam pilihan raya.

Ramai ahli-ahli Pas sekarang yang terdiri dari bijak pandai seperti jurutera, doktor, pensyarah, guru, kakitangan awam yang mana rata-ratanya menikmati apa yang kerajaan BN telah sediakan untuk rakyat semasa mereka-mereka ini bersekolah sehinggalah menamatkan pengajian keperingkat tertinggi, tetapi apakah yang telah mereka lakukan kepada kerajaan sekarang. Mereka menuduh kerajaan dengan bermacam-macam tuduhan. Mereka tidak sedar ataupun sengaja tidak mahu sedar kedudukan dan kesenangan yang dinikmati mereka adalah hasil dari kerajaan yang memerintah sekarang.

Amat malang sehingga mereka tak tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Mereka tak tahu berterima kasih. Inilah hasil dari ajaran yang telah diajar oleh tok guru-tok guru didalam Pas untuk membenci kerajaan. Mereka menghasut dan memesong fikiran ahli-ahli mereka supaya membenci kerajaan terutama UMNO. Nasihat kepada mereka ini, baliklah kepangkal jalan. Takkan tak tahu membezakan yang mana kaca dan yang mana intan. Belajar semua tinggi-tinggi. Takkan nak marahkan nyamuk sehingga kelambu dibakar.

Dan apabila Pas sedia bekerjasama dan menjalin persahabatan dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat, penulis mengambil kesempatan disini untuk bertanya kepada Presiden Pas dan juga pemimpin-pemimpin Pas yang lain. Apakah hukumnya pakatan ini? Kafir ke tak kafir? Orang-orang Melayu dengan tabah dan sabar telah menunggu dari dulu hingga sekarang inginkan jawapan dari mulut Abdul Hadi sendiri.

Jangan disebabkan ketamakkan hendak berkuasa,hingga sanggup menjual maruah agama Islam itu sendiri.

Pada ahli-ahli Pas biasa dan profesional mereka yang masih keliru itu berfikirlah dengan rasional. Tuhan memberi kita akal untuk berfikir dan gunakanlah dengan sebaik-baiknya. Siapa yang sebenarnya yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara kalau bukan UMNO itu sendiri. Abdul Hadi dan Nik Aziz bukan tuhan yang boleh menjanjikan seseorang yang masuk Pas itu akan masuk syurga kerana mereka sendiri pun tiada kepastian ?

Bagaimana pula dengan umat Islam yang lain yang tak berminat masuki politik. Adakah mereka dijanjikan neraka kerana tak masuk Pas. Adakah dengan mengundi Pas akan dapat tiket masuk ke syurga? Tak payahlah mengantung poster atau banner dengan gambar tok guru-tok guru PAS sedang mendoakan akan kehancuran pemimpin UMNO dan BN yang dikatakan kafir semasa kempen pilihanraya yang lalu. Allah Taala melihat dan tahu apa yang anda semua lakukan. Yang menjadi kepastian adalah untuk menjadi seorang umat Islam yang baik tak semesti nya masuk Pas.

Semua imbauan masa lalu, masa kini, fatwa politik Pas, percanggahan antara pemimpin, kenyataan-kenyataan keras terutamanya yang melibatkan maruah orang dan akidah pengikut, perlu direnung untuk menentukan adakah Pas masih mahu terus direlevankan? Lebih penting masih adakah kredibiliti dalam perjuangan politik dan dasar memperjuangkan Islam? Jawapannya ditangan anda semua. Tepuk dada, tanya selera.

Wallahuallam.

Print Friendly and PDF

No comments:

Post a Comment

Sebarang komen yang dibuat tidak terlibat dengan Sungguhka. Adalah menjadi tanggungjawab dan etika pemberi komen.

There was an error in this gadget

Followers

Blog Ikuti.