Assalamualaikum warahmatullah...
Saya tercuit dengan tulisan seorang yang mengakui dirinya seorang "ustaz" yang menggelarkannya Al-Bakistani. Ustaz ini menulis di sebuah blog PAS, seraya mempersoalkan keIslaman UMNO.
Katanya...
"Umno marah kat PAS. Katanya, PAS tak laksana Islam.Sebenarnya, melaksanakan islam ini bukan tanggungjawab PAS sahaja. Ia tanggungjawab semua orang islam.Umno dakwa beragama Islam, bermakna mereka juga wajib laksanakan Islam. tetapi, sejak merdeka, apa yang Umno lakukan untuk perlaksanaan islam di Malaysia?Apakah Umno ini bukan Islam seperti DAP, MIC dan MCA?"
Wahai ustaz yang budiman,
UMNO tidak pernah mengaku bahawa UMNO itu Islam dan Islam itu UMNO. Namun, ingin diberitahu kepada ustaz bahawa UMNO dari sejak ditubuhkan sememangnya memperjuangkan dan mempertahankan Islam di Tanah Melayu ini. UMNO tidak meletakkan perkataan Islam pada nama partinya, ini mungkin disebabkan bahawa UMNO risau jika wujud individu di dalam UMNO yang akhlaknya tidak mencerminkan Islam, lalu Islam dipersalahkan hanya kerana wujud nama "Islam" pada namanya. Sebagai contoh, saya mempunyai seorang kenalan ahli PAS, tapi berani makan di siang hari di khalayak ramai pada bulan puasa, main nombor ekor, malah pernah mengaku "terlanjur" dan terpaksa kahwin koboi kerana kantoi. Maka masyarakat memandang rendah pada PAS. Kononnya berdegar-degar bergebang dengan fatwa Nik Aziz, tapi akhlaknya hanya Allah yang tahu. Pada kes ini, Islam sendiri terpalit onar yang dibawa oleh ahli PAS tersebut. Jadi, jangan persoalkan tahap keIslaman UMNO atau PAS kerana persoalan itu terletak pada individu itu sendiri. Adilkah mempersoalkan keIslaman UMNO sedangkan PAS yang mengaku lebih Islam itu adalah lebih jelik dari seorang UMNO? Sekurang-kurangnya, ahli UMNO yang jelik, tidak mengotorkan nama Islam dikhalayak rakyat Malaysia, bukan begitu ustaz?
Ustaz tanpa segan silu mempersoalkan apa UMNO buat untuk Islam di Malaysia? Ustaz, UMNOlah yang memngangkat martabat Islam di Malaysia selama kita merdeka ini. Cuba Ustaz bandingkan perubahan arus keIslaman sejak zaman 60an, 70an, 80an, 90an dan kini zaman millenium. Islam begitu berkembang di Malaysia. Siapa yang "secure"kan martabat Islam di Malaysia? Pernahkah Ustaz Al-Bakistani terfikir mengapa DYMM YDP Agong berperanan sebagai Ketua Agama Islam, Ketua Angkatan Tentera dan berkuasa untuk membubarkan parlimen pada bila-bila masa? Apakah Ustaz Al-Bakistani "buta"kan mata hati dengan kewujudan Jabatan Agama Islam disetiap negeri dan wilayah, hatta Kerajaan BN mewujudkan satu portfolio khas untuk hal-ehwal Agama Islam? Dari polisi kerajaan BN, lahir pelbagai agensi yang membangunkan Islam secara fundemantal tanpa fahaman ekstreme yang fanatik atau ganas?
Cuba lihat Singapura di mana Islam dan Melayu dipinggirkan oleh pentadbiran "abang" kepada DAP iaitu PAP. Apakah Ustaz fikir DAP akan berdiam diri bila mendapat kuasa persekutuan kelak? Sedangkan kes arak di Selangor pun PAS terkedu membisu ditempelak Ronnie Liu, ada hati nak lawan DAP kelak? Sedarlah diri tu sikit Ustaz. DAP di Kedah hanya berwakilkan seorang YB DAP tunggal, namun PAS "tunduk" pada "suara"nya? Malulah Islam diperkotak katikkan. Lihatlah apa kata Nizar bila ditanya tentang "hudud", sampai dia mengugut akan report polis tentang siapa yang kata PAS nak buat hudud di Perak! Saya tidak bermaksud bahawa melaksanakan hudud itu sudah cukup kuat Islamnya, cuma saya tertanya dalam hati, Islam jenis apakah yang berkata mahu melaksanakan hudud sebelum berkuasa dan apabila berkuasa tidak melaksanakan apa yang dikatakannya? Apakah itu tanda-tanda seorang "munafik", Ustaz? Saya hanya bertanya tanda-tanda seorang munafik kepada seorang ustaz yang "adil"...
Apa pula sumbangan PAS kepada umat Islam dan Islam di Malaysia selain dari pepecahan umat dan memperlekahkan usaha kerajaan ke arah Islam? Presiden PAS dan Timbalannya cuba menyatukan umat Islam di Malaysia, namun Mursyidul Amnya pula membantah! Bantah penyatuan umat Islam, demi kerana dendamnya pada era pemerintahan Perdana Menteri yang telah tiada dimuka bumi? Kerana dendamnya pada dasar individu, maka ditolaknya penyatuan umat Islam di Malaysia? Islam jenis apakah ini? "Waqtasimu bihablillahi jami'an wa la taffaraqu...". "Nahnu muslim asyiddaa'u 'alal kuffar wa ruhamaa'i bainahum"! Apakah parti yang mengaku "sangat" Islam ini dipimpin oleh "mursyidul am" yang "berdendam kesumat"??? Astarghfirullahil'azim. Saya tidak kata UMNO itu sempurna segalanya, namun jika UMNO salah, rugikah jika ditegur dengan cara yang ber"khikmah"? Ustaz tahu makna ber"khikmah"? Kalau orang itu "api" sifatnya, patutkah ditegur dengan "petrol"? Agak-agaklah ustaz...pakailah akal yang Allah kurniakan tu. Akal tu membezakan antara seorang insan atau seekor haiwan...
Ustaz Al-Bakistani menulis lagi...
"Islam ini mengajar manusia bukan sekadar solat, puasa, zakat dan sebagainya. Tetapi, di sana wujud beberapa perkara yang ditekankan oleh islam, seperti jauhi rasuah, kezaliman (seperti ISA), penyelewengan harta rakyat dan banyak lagi. PAS berusaha perlaksanaan islam yang dilihat ada kesamaan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, seperti menolak rasuah, kezaliman, penyelewengan harta rakyat dan banyak lagi. Soalnya, kenapa UMNO yang mendakwa beragama Islam tidak menghapuskan budaya tidak islam ini? yang adanya, mereka sendiri yang mengamalkan rasuah, kezaliman dan kezaliman ini. Apakah benar, UMNO itu Islam?"
Benar kata Ustaz pada ayat yang pertama. Ayat yang kedua ada yang kurang tepat dan seterusnya hanyalah "khayalan logik" minda Ustaz semata-mata. Ustaz yang dikasihi. Saya tidak perlu mengulas ayat yang pertama. Ayat kedua adalah kurang tepat berkenaan ISA. Pada saya, ISA adalah amat perlu di Malaysia. ISA amat perlu di Malaysia kerana kita melaksanakan undang-undang ciptaan manusia yang terkenal dengan cacat celanya. Undang-undang boleh dicabar oleh peguam yang pandai memutar kata dan penjenayah yang bijak dengan susur galur kelemahan undang-undang rekaan manusia ini. Contohnya, Raja Petra dan Bala PI yang membuat pengakuan bersumpah dengan hanya mendengar "hearsay" atau cakap mulut dan tanpa bukti kukuh yang bersabit tuduhan. Maafkanlah UMNO atau BN kerana kurang kepakaran dalam membentuk satu undang-undang Islam yang syumul yang tidak dapat dipertikaikan oleh seluruh jumhur ulama sedunia. UMNO belum cukup ilmu untuk memulakan ijtihad tersebut. Niat ada, namun belum cukup "kekuatan". Tapi, alangkah baiknya kalau PAS menambah "kekuatan" tersebut berbanding memperlekehkan UMNO dan keIslamannya? Alangkah baiknya jika PAS bergabung dalam BN dalam menggapai usul tersebut? Tapi PAS sombong dengan kemegahan "rakan kafir harbi"nya dan dendam kesumat seorang "mursyidul am"! Sayang sekali bukan?
Bila Ustaz menulis tentang rasuah, kezaliman, penyelewengan harta rakyat dan banyak lagi, apakah Ustaz tidak menoleh dipihak parti PAS dan rakan-rakan yang Ustaz agung-agungkan itu? Ustaz lupakah pergolakan pentadbiran PAS di Kelantan sehingga ada yang dipecat dan diminta letak jawatan? Kes lodging? Tajaan umrah? Mungkin PAS tukar terma perkataan "rasuah" kepada "sumbangan"??? Usah bermain kata wahai Ustaz, orang yang berakal bijak menilai. "Afala tatadabbarun ya ulil albab?". Bagaimana penyelewengan harta rakyat di tanah Perak yang menjangkau 999 tahun? penyelewengan kuasa dan harta rakyat di Kelantan? Pasir di Selangor? Islam yang ustaz faham ajar begitukah? Sedangkan sebotol arak pun PAS tak dapat pertahankan keharamannya, usahlah Ustaz pergi kepada perkara yang lebih jauh dari itu. Memalukan Ustaz saja kelak.
Sebenarnya ustaz, semua perkara mungkar ini tidak mengenal parti. Ahli UMNO mahupun PAS sendiri, sama saja. Ianya terpulang kepada individu itu sendiri dan sejauh mana iman dan taqwanya. Jika tebal imannya, orang yang bertali leher yang ditawarkan wang berbillion USD pun akan menolaknya jika ianya dari sumber yang haram. Namun saya peringatkan Ustaz, jika kurang iman dan taqwanya, walaupun bergelar dan bertopengkan "pak syeikh" yang mampu menjadi imam solat jumaat sekali pun akan sanggup menerima wang dari yahudi yang bernama "Wolfowitz"! "Innama akramakum aindallahi atqakum"! Bukan parti mahupun fahaman politik yang jadi ukuran. tapi tahap keimanan dan taqwa seorang hamba Allah! Takkanlah ustaz tidak tahu cerita seorang sufi yang sesat hanya kerana digoda seorang wanita dan arak? Dan takkanlah ustaz lupa tentang hikayat seorang pembunuh yang membunuh 99 orang dan dimasukkan ke syurga Allah? Bukan undi PAS yang menentukan "tiket" ke syurga...Ustaz mengerti?
Oleh itu, saya memulangkan persoalan Ustaz, "apakah PAS itu Islam???", atau hanya sekadar "nama"...???
Wallahu'alam...
Dipetik dari: DukeOfUMNO.
No comments:
Post a Comment
Sebarang komen yang dibuat tidak terlibat dengan Sungguhka. Adalah menjadi tanggungjawab dan etika pemberi komen.