Sejauh manakah kesungguhan, keikhlasan, kebenaran dan kejujuran Parti Politik membawa arah tuju yang sebenar.....?

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

- Surah Ali Imran ayat 140 -

Petikan Al-Quran.

Topik Terkini.

Tuesday, January 18, 2011

PAS Bakal Jadi Korban Politik DAP-PKR - Penganalisis.

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- PAS perlu  melupakan agenda penubuhan negara Islam yang menjadi cita-cita parti Islam itu jika terus bersama pakatan pembangkang, kata penganalisis politik.

Ini kerana, menurut mereka, PAS sering kali ditentang hebat oleh rakannya iaitu DAP mengenai agendanya dan tiada gunanya PAS terus berada dalam gabungan tersebut jika benar-benar mahu meneruskan agenda negara Islam.

 "PAS tidak perlu bermimpi bahawa DAP akan menerima agenda negara Islam yang diperjuangkannya kerana DAP dari dahulu lagi tetap dengan agenda negara sekular. Adalah lebih baik PAS berjuang sendirian dan keluar daripada pakatan pembangkang bagi mengekalkan survival parti.

 "PKR pun tak ada kenyataan rasmi yang mengatakan mereka menyokong agenda yang dibawa PAS. PAS akan menjadi korban politik mereka (DAP dan Parti Keadilan Rakyat-PKR) jika terus bekerjasama dengan pakatan," kata penganalisis politik Asri Salleh ketika dihubungi Bernama di sini, hari Isnin.

 Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, Terengganu itu juga berkata sekiranya terus berada dalam gabungan tersebut, agenda PAS untuk menubuhkan negara Islam lebih kepada retorik semata-mata bagi mengekalkan kuasa dan sokongan parti itu.

 Beliau berkata agenda negara Islam yang diperjuangkan PAS juga terpaksa dibelakangkan kerana perlu mendokong agenda yang dipersetujui bersama DAP dan PKR.

 "Jadi PAS terpaksa berkompromi menggadai dasar perjuangannya demi politik. Pada saya, PAS akan menjadi lebih baik jika berada di luar pakatan pembangkang berbanding berada di dalamnya yang dikhuatiri akan menghancurkan parti itu kelak," katanya.

 Pada 9 Jan lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan akhbar berkata bahawa PAS akan tetap melaksanakan agenda negara Islam dan tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan termasuk daripada rakan dalam pakatan pembangkang.

 Namun, Abdul Hadi menerusi blognya keesokannya, menafikan laporan akhbar itu yang disifatkannya tidak benar, sebaliknya menjelaskan bahawa PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan yang ingin dilaksanakan adalah semestinya dalam ruang lingkup perlembagaan dengan Islam sebagai agama rasmi negara.

 Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin juga berpendapat bahawa PAS perlu keluar dari gabungan DAP dan PKR yang dilihat semakin menghancurkan parti itu.

 Katanya, agenda negara Islam yang disuarakan PAS termasuk baru-baru ini dilihat bertujuan bagi menguji penerimaan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

 "PAS mula dilihat mahu lari dari pakatan itu dan mula membangkitkan mengenai negara Islam. Pada saya ini adalah tanda-tanda PAS nak keluar dari pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Bernama.

 Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata sekiranya pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang, PAS tetap akan menjadi parti yang ketiga dalam gabungan itu ekoran mempunyai bilangan kerusi yang sedikit.

 "Tidak ada ruginya PAS keluar. Nak bincang pasal negara Islam mestilah dengan parti Melayu. PAS jika bersama Barisan Nasional (BN), pasti dia akan mendapat tempat yang lagi bagus. Dalam pakatan tak dapat apa-apa. Jadi elok fikirkan mengenai kerajaan perpaduan demi kepentingan rakyat," katanya.

Dipetik dari -- BERNAMA
Print Friendly and PDF

1 comment:

Sebarang komen yang dibuat tidak terlibat dengan Sungguhka. Adalah menjadi tanggungjawab dan etika pemberi komen.

Followers

Blog Ikuti.